Gambar Hiasan. foto HAZROL ZAINAL, 20 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah telah menitahkan agar umat Islam mendirikan Solat Hajat, khusus menolak wabak COVID-19 yang sedang melanda negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri  berkata, Solat Hajat tersebut boleh dilakukan pada waktu siang atau malam kecuali pada waktu-waktu yang diharamkan solat.

“Saya amat mengharapkan kerjasama dari semua pihak untuk menyahut titah KDYMM Tuanku Agong dengan melaksanakannya di rumah dan tempat masing-masing dengan mematuhi segala arahan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Waktu yang diharamkan solat ialah sesudah solat Subuh hingga terbit matahari. (kecuali bagi mereka yang berada di Tanah Haram), selepas terbit matahari hingga kadar 7 hasta pandangan mata iaitu kira-kira 3 darjah, ketika matahari tegak di atas kepala kecuali pada hari Jumaat, selepas solat Asar (kecuali di Tanah Haram) dan ketika matahari kemerahan di waktu senja hingga terbenam seluruh bulatannya. (kecuali di Tanah Haram)

Selain itu, Dr Zulkifli juga meminta umat Islam membanyakkan istighfar, taubat, zikrullah dan amalan ketaatan serta munajat yang tidak putus-putus kepada-Allah. – Malaysiagazette