Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyaksikan dron yang akan digunakan oleh Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia susulan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung wabak Covid-19 di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 24 MAC 2020

KUALA LUMPUR -Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan kerjasama Industri Pertahanan Tempatan telah memulakan penggunaan dron untuk mengawasi pergerakan orang awam sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mencegah penularan Covid-19.

Panglima ATM, Tan Sri Affendi Buang berkata, dron itu akan digunakan mengikut keperluan dan kesesuaian di 12 kawasan titik panas di seluruh negara terutama sekali ibu kota bagi membantu pasukan penguat kuasa memantapkan lagi kawalan PKP.

Menurutnya, penggunaan dron secara tidak langsung meningkatkan keupayaan ATM menggunakan teknologi untuk membuat kawalan dari udara sekaligus memperkasa keefisienan tentera dalam menguatkuasakan undang-undang.

“Dia (dron) boleh terbang secara senyap dan menembusi mana mana kawasan yang sukar ditembusi pasukan dan sentiasa akan beroperasi di atas kita dalam membantu menasihati orang awam yang berdegil untuk duduk di dalam rumah.

“Malah kita akan hantar unit-unit (dron) ke kawasan luar KL mengikut keadaan dan keperluan yang mana masih wujud kumpulan yang berdegil elak aktiviti luar tetapi kita belum boleh diperluaskan ke seluruh negara.

“Tetapi ia masih menyasarkan lokasi tertumpu atau targeted area yang kita rasa patut kita lakukan dan dengan ini berharap kita mempunyai operasi kawalan pergerakan dapat dijalankan dengan efisien dan pasukan kita sentiasa berada pada tahap tinggi,” katanya.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyaksikan dron yang akan digunakan oleh Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia susulan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung wabak Covid-19 di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 24 MAC 2020

Beliau berkata demikian selepas hadir bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan menyaksikan penggunaan dan pengoperasian kira-kira empat buah dron yang merupakan aset ATM dan PDRM di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di Jalan Tun Sambanthan hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin@ Hilmi dan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Deputi Komisioner Datuk Yong Lei Choo.

Kelihatan anggota Angkatan Tentera Malaysia dan anggota Polis Diraja Malaysia menerbangkan dron yang akan digunakan susulan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung wabak Covid-19 di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 24 MAC 2020

Ditanya jumlah unit dron yang akan digunakan dalam operasi pemantauan, Affendi bagaimanapun tidak berhasrat mendedahkan bilangannya tetapi menjelaskan ia akan mencakupi kawasan panas tumpuan utama orang ramai.

Menurutnya, aset-aset dron berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan dan usahasama sumbangan industri pertahanan tempatan sekaligus membolehkan ia boleh digunakan di banyak kawasan yang diperlukan sepanjang PKP ini.

Mengulas mengenai tindakan lanjut sekiranya pergerakan orang ramai dikesan dan ditangkap oleh dron ATM, Affendi berkata, selain merakam gambar dengan sangat jelas dan beresolusi tinggi, penguat kuasa yang berada dan mengawal dron dari lokasi akan digegaskan ke lokasi.

“Dron berkenaan selain memantau membuat hebahan nasihat larangan keluar rumah kepada orang awam dalam tribahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil yang boleh menasihati orang awam yang berdegil supaya mengelak keluar rumah dengan jelas.

“Kita juga boleh menggantikan waktu endurance dron berkenaan dan boleh kekal beroperasi di udara selama 40 minit dan ada juga sejam lebih (dron besar) dan boleh bergerak ke kawasan untuk liputan pemantauan besar iaitu tempat penduduk padat tiga hingga lima kilometer,” tegasnya.-MalaysiaGazette