logo FELDA

KUALA LUMPUR – Felda terpaksa menangguhkan semua urusan pembayaran kepada peneroka, pembekal, kontraktor dan vendor disebabkan proses pembersihan dan nyahkuman yang  dilaksanakan di Menara Felda mulai 20 Mac lalu.

Kerja-kerja itu dijangka selesai pada 25 Mac ini.

Felda berkata, penangguhan ini hanya melibatkan peneroka yang menerima bayaran secara tunai sahaja serta pembayaran pembekal, kontraktor dan vendor melalui cek.

”Urusan pembayaran peneroka ini akan dilaksanakan setelah proses pembersihan Menara Felda selesai dijalankan.

”Manakala urusan berkaitan pembekal, kontraktor dan vendor akan dilaksanakan selepas tempoh PKP tamat,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, pembayaran kepada peneroka yang mendaftar akaun bank berjumlah RM13.83 juta telah dilaksanakan mengikut jadual pada minggu ini.

Sementara baki bayaran peneroka serta pembayaran kepada pembekal, kontraktor dan vendor akan dilaksanakan
pada 1 April 2020.

Bagi memudahkan proses pembayaran pada masa hadapan, setiap peneroka adalah diminta untuk membuka akaun bank (sekiranya belum berbuat demikian), dan/atau mengaktifkan akaun sedia ada bagi membolehkan transaksi bayaran secara pindahan bank atas talian dibuat dengan Felda tanpa melibatkan urusan pembayaran tunai di rancangan.

Dalam menghadapi situasi sukar akibat penularan Covid-19 ini, pengurusan Felda memohon agar warga peneroka, pihak kontraktor dan pihak berkepentingan yang terjejas dapat bersabar dan memahami situasi ini sebaiknya.

”Pengurusan Felda sentiasa memandang berat perkara ini dan akan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi
menghadapi kesukaran ini,” katanya. – MalaysiaGazette