Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd Ajib Ismail mengagihkan makanan pada Majlis Pengagihan JAWI Foodbank kepada kakitangan Kementerian Kesihatan di Klinik Kesihatan Persint 14, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 24 MAC 2020

PUTRAJAYA – Hampir 16,000 bungkusan makanan berupa nasi dan makanan segera disumbangkan kepada petugas-petugas di hospital, klinik kesihatan dan pusat perubatan di seluruh Wilayah Persekutuan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi), Mohd Ajib Ismail berkata, bantuan itu merupakan hasil sumbangan daripada masjid, surau masjid dan rakan strategiknya melalui Bank Makanan Jawi.

“Hari ini Jawi memberikan sumbangan sebanyak 15,750 bungkus kepada hospital, pusat perubatan, klinik, gelandangan dan stesen media penyiaran.

“Kita memahami petugas-petugas di barisan hadapan ini di mana mereka bertugas untuk negara dan masyarakat.

“Mesej daripada masjid dan surau ialah kami amat menyayangi petugas-petugas ini dan kita memberikan sumbangan untuk menyatakan keprihatinan,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyerahkan bantuan makanan berbentuk nasi dan makanan segera Kentucky Fried Chicken (KFC) hasil sumbangan QSR kepada petugas di Klinik Kesihatan Presint 14, di sini.

Turut diberikan bantuan itu ialah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Putrajaya, Klinik Kesihatan Presint 9, Presint 11, Presint 14 dan Presint 18, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Hospital Sultan Mizan (ATM) dan Hospital Kuala Lumpur.

Mohd Ajib berkata, bantuan makanan akan disalurkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 31 Mac ini.

“Insya Allah Jawi Foodbank akan memberikan bantuan ini sehingga 31 Mac ini sekiranya PKP itu berakhir. Sekiranya tempoh itu disambungkan lagi, kita akan cuba memberikan sumbangan sebaik mungkin seperti ini,” katanya.

Katanya lagi, sejak tabung itu diwujudkan, banyak masjid dan surau Jumaat di bawah kelolaanya sedia memberikan sumbangan, namun ia berdasarkan kemampuan.

“Kita mencadangkan setiap masjid dan surau Jumaat untuk menyumbang mengikut kemampuan, sekurang-kurangnya RM2,000 untuk tabung itu.

“Kita mempunyai 88 masjid serta 109 surau Jumaat di Wilayah Persekutuan, katanya lagi. – MalaysiaGazette