KUALA LUMPUR – Jabatan Perangkaan Malaysia sedang menjalankan kaji selidik khas secara atas talian bagi mengkaji kesan Covid-19 kepada ekonomi dan individu di Malaysia.

Kaji selidik khas pusingan 1 yang bermula 23 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020 ini terbuka kepada semua penduduk Malaysia yang berumur 15 tahun ke atas.

Maklumat-maklumat yang dikumpulkan melalui survei ini tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989), yang mana maklumat yang diterima adalah sulit dan hanya digunakan bagi tujuan perangkaan.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, kaji selidik ini mengandungi 21 soalan yang merangkumi tiga modul iaitu Modul Umum, Modul Pekerjaan dan Modul Perbelanjaan.

Dapatan daripada kaji selidik ini akan digunakan sebagai input kepada Kerajaan Malaysia untuk mengukur kesan penularan wabak Covid-19 terhadap ekonomi, pekerjaan dan pola perbelanjaan penduduk Malaysia.

Bagi memenuhi tujuan kajian, Jabatan Perangkaan Malaysia mengalu-alukan semua penduduk Malaysia yang berumur 15 tahun ke atas memberikan kerjasama dan menyertainya melalui pautan berikut https://bit.ly/SurveiCOVID19DOSM, kod QR yang disertakan atau laman sosial media rasmi DOSM (@StatsMalaysia). – MalaysiaGazette