Disahkan pulih Covid-19 selepas terjangkit wabak itu 16 Mac yang lalu.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr. Kelvin Yii telah sembuh sepenuhnya daripada wabak Covid-19 selepas dikuarantin di Hospital Sarawak selama tujuh hari.

Katanya Jabatan Kesihatan Sarawak mengesahkan beliau negatif Covid-19 selepas membuat ujian saringan selama dua kali.

Walaupun dibenarkan pulang ke rumah, namun Kelvin dinasihatkan untuk terus mengisolasikan dirinya apabila dijangkakan dibenarkan pulang hari ini selepas menerima panggilan telefon pada 8:40 malam tadi.

“Saya diberitahu saya merupakan pesakit Covid-19 yang discharged di Kuching, mungkin juga di Sarawak. Jabatan Kesihatan Sarawak memaklumkan negatif Covid-19 selepas dua kali ujian dan saya boleh balik rumah.

“Walaupun begitu, saya akan tetap teruskan isolasi diri sendiri sebagai langkah berjaga-jaga dan mengikuti nasihat Jabatan Kesihatan,” katanya menerusi Instagram.

Tujuh hari di hospital, Ahli Parlimen Kuching itu berkata kesihatannya sama sekali tidak terjejas.

Beliau turut memuji petugas Hospital Sarawak yang banyak membantu dan sangat profesional ketika merawat beliau.

“Saya berpeluang melihat sendiri sikap kemanusiaan yang terbaik apabila doktor dan jururawat serta pihak penjagaan kesihatan yang lain termasuk pencuci yang bekerja keras semata-mata mahu memastikan kami selamat, menjaga kami dan melindungi masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.

Kelvin pada 17 Mac yang lalu disahkan positif Covid-19.

Ekoran itu bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga dikuarantin selama 14 hari selepas dipercayai mempunyai kontak rapat dengan Kelvin.

Mahathir kemudiannya pada 22 Mac yang lalu dimaklumkan bebas daripada wabak itu.-MalaysiaGazette