Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengakui buat masa ini semua penaja termasuk kerajaan negeri akan terus memberikan komitmen dalam pembayaran gaji kepada pemain.

Setiausaha Kehormat, Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil, isu penularan wabak Covid-19 tidak memberikan kesan kepada Terengganu yang sebaliknya akan terus komited dalam menjaga kebajikan pemain sehingga saingan CIMB Liga Super dan Shopee Piala FA akan kembali bersambung.

“Saya tidak pasti kenapa Terengganu ada dikaitkan dalam isu ini sedangkan kami sendiri sudah mendapat sokongan yang cukup baik daripada kerajaan negeri, syarikat-syarikat GLC(milik kerajaan negeri Terengganu) dan penaja utama kami sendiri, Red One.

“Mereka tidak ada pun cakap akan menarik balik tajaan ekoran liga ditangguhkan kerana COVID-19 dan sokongan yang mereka berikan adalah sehingga penghujung musim ini.

“Soal jualan tiket pula tidak memberikan kesan besar kepada kami malah sebelum ini, ia hanya digunakan untuk menampung kos perbelanjaan pada hari perlawanan seperti pembayaran elaun kepada pengadil dan petugas-petugas keselamatan seperti Rela, ” katanya kepada Malaysian Football League.

Liga Malaysia ketika ini telah ditunda aksinya sejak 16 Mac lalu bermula daripada aksi pusingan kedua Shopee Piala FA yang sepatutnya berlangsung pada 17 dan 18 Mac lalu.

Semua pasukan juga tidak dibenarkan melakukan sebarang latihan sehingga 31 Mac sepertimana diputuskan Kerajaan Malaysia untuk kekal berada di rumah sepanjang tempoh kawalan pergerakan. – MalaysiaGazette