Jumlah perdagangan Malaysia pada April 2018 meningkat 11.7 peratus tahun ke tahun kepada RM155.42 bilion berbanding penurunan sebanyak 3.5 peratus pada Mac, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Syarikat-syarikat yang berhasrat untuk meneruskan operasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh berbuat demikian sebelum jam 12 tengah malam ini.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam ini memberitahu, selepas tarikh terakhir itu, kementerian akan memberi fokus kepada proses penyaringan ribuan permohonan yang telah diterima.

Semua permohonan-permohonan syarikat dilakukan secara atas talian, e-mel dan laman sesawang MITI.

Syarikat-syarikat yang memohon perlu mengikut syarat- syarat yang disenaraikan antaranya adalah syarikat diwajibkan untuk menetapkan jumlah pekerja yang bertugas berada di tahap minima; pengeluaran produk/hasil syarikat memberi keutamaan kepada pasaran tempatan; dan syarikat juga perlu melaksanakan garis panduan dan prosidur pencegahan COVID19 seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah menetapkan tarikh akhir untuk syarikat-syarikat menghantar permohonan untuk meneruskan operasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jatuh pada 24 Mac 2020, jam 11.59 malam.

“Penetapan tarikh akhir ini adalah untuk memastikan permohonan- permohonan syarikat yang diterima dapat diproses pada kadar segera,” katanya.

Selain itu, sebuah Jawatankuasa Khas yang akan diketuai Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industr,i Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi telah ditubuhkan untuk memastikan kelangsungan bekalan produk keperluan asas kepada rakyat Malaysia.

Bagi memastikan bekalan keperluan asas itu terjamin, permohonan syarikat-syarikat meliputi makanan, minuman, ubat-ubatan, peranti perubatan termasuk ventilator, picagari, personal protective equipment (PPE) iaitu face mask, sarung tangan perubatan, thermometer, kit kecemasan, barangan penjagaan diri seperti sabun pencuci, bahan pembersih diri, syampu dan sanitiser diluluskan.

Sejak permulaan tarikh permohonan syarikat-syarikat untuk meneruskan operasi pada 19 Mac 2020, sektor-sektor yang telah diluluskan Kerajaan untuk meneruskan operasi terdiri daripada sektor pembuatan dan pengeluaran barang-barang keperluan umum yang dikategorikan penting dan kritikal seperti berikut:

  1. Makanan dan minuman;

2. Produk barangan rumah (termasuk hand sanitiser);

3. Peralatan perlindungan peribadi (termasuk topeng muka);

4. Farmaseutikal;

5.Bahan pembungkusan dan percetakan, khususnya untuk industri makanan dan minuman;

6. Peranti perubatan, dan pembedahan; dan

7. Minyak dan gas.

MITI turut menjelaskan antara punca-punca permohonan-permohonan ditolak adalah kerana syarikat yang memohon bukan dikategorikan di dalam sektor yang penting dan kritikal; syarikat mengemukakan maklumat yang tidak lengkap atau tidak tepat; dan syarikat tidak mengemukakan pengurangan jumlah tenaga kerja ke tahap minima ataupun sekurang-kurangnya 50 peratus seperti yang ditetapkan oleh kerajaan.- MalaysiaGazette