Megat D. Shahriman (empat dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada wakil anggota Polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.

KUALA LUMPUR – Dalam menghargai pengorbanan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), Yayasan Usahawan Negara (YUN) melalui kerjasama dengan Restoran Berputar Atmosphere 360 Menara Kuala Lumpur telah melaksanakan misi pembekalan makanan tengahari kepada semua wira dan wirawati negara bermula hari ini hingga 31 Mac ini.

Penyaluran bantuan makanan tengahari itu bertujuan menyuntik semangat anggota dan pegawai PDRM untuk terus memberi perkhidmatan terbaik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Menurut Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah YUN, Datuk Sri Megat D. Shahriman Zaharudin, pihaknya memperuntukkan sebanyak 500 pek makanan setiap hari hingga 31 Mac ini dengan ia meliputi anggota yang bertugas di semua 61 lokasi sekatan jalanraya sekitar Lembah Klang.

“Alhamdulillah hari ini pihak YUN dengan kerjasama Atmospehere 360 akan memulakan misi mengagihkan makanan tengahari kepada semua anggota PDRM yang bertugas. Penyerahan ini akan dibuat melalui enam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Kuala Lumpur.

“Kami akan menyalurkan sumbangan makanan hingga 31 Mac ini untuk pastikan anggota-anggota PDRM terus bersemangat sesuai dengan tanda pagar yang trending ketika ini #kitajagakita. Jumlah pek makanan itu juga akan ditambah sekiranya terdapat permintaan yang lebih tinggi,” katanya ketika menyerahkan sumbangan di IPD Dang Wang di sini hari ini.

Yayasan Usahawan Negara menyediakan sebanyak 500 pek makanan setiap hari bermula hari ini hingga 31 Mac ini.

Sementara itu, Megat yang juga Pengarah Urusan Atmosphere 360 turut berterima kasih kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mengalu-alukan bantuan daripada NGO dan syarikat swasta.

“Saya mahu berterima kasih kepada Menteri Dalam Negeri kerana memberi kebenaran bagi NGO seperti kami untuk membantu. Beliau amat prihatin kepada semua anggota PDRM yang bertugas di seluruh negara.

“Selain itu, saya ingin berterima kasih kepada Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim yang memberi kerjasama sepenuhnya kepada kami dalam menjayakan misi ini dan diharap kami dapat meneruskan program sebegini dengan lebih efektif selepas ini.

“Kami juga mengalu-alukan kerjasama daripada pihak korporat lain untuk memberi sumbangan dengan kami di YUN sedia menjadi NGO pemudahcara untuk syarikat-syarikat di luar sana untuk memberi sumbangan kepada petugas barisan hadapan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

Yayasan Usahawan Negara bekerjasama dengan Restoran Berputar Atmosphere 360 Menara Kuala Lumpur bagi menghargai pengorbanan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).