Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menubuhkan satu pasukan khas saringan bersama Kementerian Pengajian Tinggi bag melaksanakan ujian saringan Covid-19 di 10 makmal diagnostik yang dikenalpasti seluruh negara.

Selaku peneraju agenda sains, teknologi dan inovasi negara, menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya telah mengambil beberapa inisiatif berkenaan dalam usaha untuk membendung Covid-19.

Pasukan khas saringan itu juga bagi menyokong dan mendukung sasaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mencapai 16,000 ujian sehari bermula April ini seperti diumumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah semalam.

“Melalui mesyuarat MOSTI-KPT pada 20 Mac lalu, kedua-dua kementerian telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah pasukan khas saringan MOSTI-KPT, bagi melaksanakan ujian saringan Covid-19 di 10 buah makmal diagnostik iaitu di institut penyelidikan di bawah MOSTI (sebuah makmal bergerak), institut pengajian tinggi serta di hospital universiti.

“Satu protokol standard sedang dibangunkan bersama pihak KKM untuk digunakan oleh kesemua pusat pemeriksaan ini.

“Kesemua makmal ini mampu melaksanakan sebanyak 1,414 ujian sehari. Pihak KKM menerusi Institute for Medical Research (IMR) juga akan melatih staf dan kakitangan makmal saringan Covid-19 dengan protokol standard yang bakal diwujudkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ini bermakna, sebanyak 42,420 ujian saringan akan dilaksanakan oleh institut penyelidikan dan IPT dalam tempoh 30 hari bagi membantu meringankan beban KKM.

Menurut Ahli Parlimen Rembau itu, inisiatif itu juga merupakan hasil perbincangannya dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba serta Menteri Komunikasi dan Mutimedia, Datuk Saifuddin Abdullah melalui Mesyuarat Kerjasama Strategik KKM-MOSTI-KKMM yang dipengerusikan bersama bagi mengawal penularan wabak Covid-19 pada 23 MacĀ  lalu.

Selain itu,ujar beliau, selaras dengan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 14 April ini seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, MOSTI sedang melaksanakan beberapa inisiatif bagi mengekang penularan wabak ini.

“Antaranya adalah mempercepatkan proses penilaian kit ujian diagnostik Covid-19 yang dibangunkan oleh Syarikat Medical Innovation Ventures Sdn. Bhd. (Mediven) yang dibiayai menerusi Malaysia Technology Development Corporation (MTDC).

“MOSTI juga sedang membangunkan aplikasi pemetaan kawasan penularan Covid-19 yang akan membantu pihak berkuasa melakukan pemantauan yang lebih rapi serta sebagai amaran dan peringatan kepada orang ramai untuk menjauhi kawasan terlibat.

“Oleh itu, saya berharap orang ramai akan kekal tenang dan mematuhi PKP sehingga 14 April ini dengan duduk di rumah supaya kita sama-sama dapat mengekang penularan Covid-19 dan kesemua kementerian dan agensi kerajaan sedang melakukan segala yang terdaya untuk memerangi wabak ini.

“Diharapkan usaha kami ini dapat dilaksanakan secara berkesan kerana tugas menangani wabak Covid-19 ini bukan terletak di bahu KKM semata-mata tetapi perlu turut digalas oleh semua agensi kerajaan dan masyarakat,” tegasnya.-MalaysiaGazette