KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masuk hari ketujuh, hari ini dijangka berlaku pergerakan besar-besaran susulan hari pembayaran gaji, khususnya untuk penjawat awam.

Tinjauan MalaysiaGazette sejak jam 10 pagi tadi mendapati beberapa bank tempatan di sini mengenakan syarat ketat kepada pelanggannya sebelum dibenarkan berurusan di premis mereka.

Kawalan ketat Bank
Pihak CIMB Bank di Bandar Baru Ampang mewajibkan orang ramai beratur di pintu masuk bank serta mengimbas suhu badan dan membuat semburan cecair pembasmi kuman di tapak tangan sebelum mereka dibenarkan berurusan di kaunter atau mesin ATM bank.

Antaranya CIMB Bank Cawangan Bandar Baru Ampang mewajibkan orang ramai beratur di pintu masuk dengan jarak satu meter di antara satu sama lain, selaras dengan gesaan kerajaan mengamalkan penjarakkan sosial.

Kemudian, pihak bank akan mengimbas suhu badan orang ramai dan membuat semburan cecair pembasmi kuman di tapak tangan sebelum mereka dibenarkan berurusan sama ada di kaunter mahupun mesin ATM bank.

Berdasarkan pemantauan MalaysiaGazette sehingga kini, semua bank yang beroperasi masih tidak sesak dengan orang ramai kerana langkah awal yang menghadkan kemasukan pelanggan di dalam premis itu dalam satu-satu masa.

Kawalan Ketat Bank
Pihak keselamatan tidak membenarkan orang ramai membawa kenderaan mendekati bank yang terletak di dalam Kompleks Kerajaan Jalan Duta.

Bagi beberapa bank yang berada di dalam bangunan pentadbiran kerajaan seperti di Kompleks Kerajaan Jalan Duta pula, orang ramai perlu berjalan kaki dari pintu utama dan tidak dibenarkan membawa kenderaan ke bank.

Malah MalaysiaGazette dimaklumkan pihak bank bahawa sebanyak 140 cawangan Maybank di sini menutup operasi kaunternya hari ini bagi mengelakkan kesesakan di premis perbankan itu susulan hari pembayaran gaji bagi penjawat awam.

Perkara itu turut disahkan oleh Unit Rondaan Motosikal Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang ditemui di Bandar Baru Ampang bahawa kebanyakan bank di kawasan tersebut menutup kaunternya bermula hari ini.

Tidak kurang pula ada pihak bank  berasa panik apabila MalaysiaGazette cuba mendekati dan memantau premis mereka sama ada mematuhi PKP atau sebaliknya. – MalaysiaGazette