Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana, Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merayu jasa baik pemilik hartanah dan teksi supaya memberi diskaun sehingga 90 peratus kepada penyewa masing-masing.

Jelasnya, meskipun tiada peruntukan undang-undang untuk menghalang pemilik daripada menuntut sewa bulanan daripada penyewa namun pertimbangan sewajarnya harus diberikan dalam mengharungi masa yang mencabar ini.

“Bank-bank sudahpun membenarkan bayaran ansuran ditangguh selama enam bulan.

“Sebab itu, saya harap tuan-tuan yang baik hati boleh bertimbang untuk memberi diskaun sewa sehingga 90 peratus (kerana saya faham bank masih mengenakan faedah dalam tempoh tangguhan ini) mengikut kemampuan tuan-tuan ataupun mengecualikan sewa kepada penyewa pada tempoh krisis Covid-19 ini.

”Tiada kebaikan kepada tuan-tuan juga jika pelanggan tuan-tuan terlingkup pada masa yang amat susah ini.

“Jika tuan-tuan tendang keluar penyewa kerana tak bayar sewa pun, tiada pelanggan baru yang akan ganti sewa pada masa susah ini.

“Kita saling bantu-membantu pada masa susah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sepatutnya tamat pada 30 Mac dilanjutkan kepada 14 April ini.

Terdahulu dalam satu kenyataan, beliau mengumumkan moratorium bayaran balik kepada peminjam-peminjam individu dan perusahaan kecil dan sederhana sehingga enam bulan.

Beliau berkata, pemegang kad kredit yang menghadapi kekangan kewangan boleh memilih untuk menukar baki kad kredit kepada pinjaman berjangka. – MalaysiaGazette