Hamidin Mohd Amin.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil maklum berhubung situasi semasa tahap penularan terkini wabak Covid-19 yang menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 14 April ini.

Ia sekali gus turut mempengaruhi perjalanan baki saingan Liga Malaysia 2020 yang mana ia akan menyebabkan lanjutan perlawanan-perlawanan liga yang telah pun ditangguhkan berkuat kuasa bermula 16 Mac ini.

Presiden FAM yang juga Presiden Malaysian Football League (MFL), Datuk Hamidin Mohd Amin, pihaknya akan sentiasa memberikan kerjasama sepenuhnya di mana FAM dan MFL telah bersetuju untuk terus menangguhkan kesemua aktiviti di bawah pengelolaan FAM, MFL serta Amateur Football League (AFL) sehingga tarikh baharu akan diumumkan kelak.

Katanya lagi, FAM bersama-sama MFL akan mencari jalan penyelesaian berhubung situasi ini dengan pemegang taruh yang terlibat terutamanya kelab, pemain dan pegawai.

“Meskipun keputusan lanjutan penangguhan ini adalah satu keputusan sukar tetapi keputusan ini harus dibuat demi kepentingan dan keharmonian rakyat di mana FAM bersama MFL sentiasa mengutamakan rakyat dalam usaha mencegah wabak Covid-19 daripada terus menular apatah lagi kita mencatat peningkatan jangkitan di kalangan masyarakat ketika ini.

“Selain saingan CIMB Liga Super, Liga Premier, Shopee Piala FA, TM Piala Malaysia dan Challenge Cup, lanjutan penangguhan ini juga turut membabitkan kem pasukan kebangsaan, Malaysia Premier Futsal League (MPFL), Piala Presiden, Piala Belia, Liga M3 dan Liga M4,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Hamidin lagi, situasi semasa akibat penularan wabak Covid-19 juga telah memberi kesan kepada perjalanan Liga Malaysia 2020 namun beliau yakin segala masalah mampu diselesaikan dengan kerjasama semua pihak.

“Kita sedia maklum yang kelab-kelab ini mungkin berdepan masalah kewangan kerana ketiadaan perlawanan berlangsung ketika ini, sekali gus menjejaskan sumber kutipan tiket masing-masing dan pada masa yang sama perlu meneruskan juga pembayaran gaji kepada para pemain dan pegawai.

“Situasi seperti ini bukan kita minta dan tidak dapat dielakkan tetapi apabila ia berlaku, perbincangan dan persetujuan bersama adalah sesuatu yang perlu dicapai bagi memastikan kepentingan semua pihak dapat dijaga. Sama seperti FAM, kami di MFL sentiasa bersedia untuk dihubungi oleh mana-mana rakan kongsi liga untuk sebarang perbincangan,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Hamidin turut memberitahu FAM dan MFL telah sedia maklum bahawa Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) meminda beberapa tarikh penting melibatkan pasukan kebangsaan selain perlawanan-perlawanan Asian Champion League (ACL) dipinda ke bulan Mei dan Jun depan.

“MFL sentiasa berhubung rapat dengan AFC untuk sebarang pemakluman terkini jika sekiranya terdapat tarikh-tarikh baharu akan dimaklumkan kelak.- MalaysiaGazette