KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 1.3 peratus pada Februari 2020 kepada 122.4 berbanding 120.8 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, daripada 552 item yang diliputi di dalam IHP, 343 item menunjukkan peningkatan pada Februari 2020 berbanding Februari 2019.

Sebaliknya, 161 item mencatatkan penurunan manakala 48 item tidak berubah.

Berdasarkan prestasi 552 item mengikut kategori barangan dan perkhidmatan, Barang Tidak Tahan Lama (296 item) adalah kategori paling banyak mengalami kenaikan harga iaitu 196 item, 84 item menurun dan 16 item tidak berubah berbanding kategori perkhidmatan, barang semi tahan lama dan barang tahan lama.

Kenaikan indeks keseluruhan ini adalah didorong oleh kenaikan indeks pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.5%), pengangkutan (2.4%), perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (1.6%) dan komunikasi (1.5%).

Bagi perbandingan bulanan, IHP kekal tidak berubah 122.4 berbanding bulan Januari 2020.

Sementara itu, IHP bagi tempoh Januari hingga Februari 2020 mencatatkan peningkatan 1.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Menurutnya, empat negeri iaitu Selangor dan Putrajaya (1.6%), Kuala Lumpur (1.5%), Pahang (1.5%) dan Johor (1.4%) menunjukkan kenaikan melepasi paras IHP nasional 1.3 peratus pada Februari 2020 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Semua negeri kecuali Melaka mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan makanan & minuman bukan alkohol.

Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Johor (1.3%) diikuti oleh Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (1.2%), Pulau Pinang (1.0%) dan Perak (0.9%) dan ia melebihi paras nasional 0.8 peratus bagi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol pada Februari 2020. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.