Dr. Aini Ideris

KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia menjelaskan seorang kakitangannya yang telah menghadiri ijtimak jemaah tabligh di Masjid Seri Petaling sudahpun melaksanakan ujian saringan Covid-19.

Kakitangan itu telah melakukan saringan Covid-19 di Pusat Kesihatan Universiti (PKU) pada 12 Mac 2020, hari ke 12 selepas beliau menghadiri ijtimak tersebut.

PKU telah membuat saringan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Memandangkan beliau tidak menunjukkan sebarang gelaja, PKU telah mengarahkan beliau untuk kuarantin dirumah sehingga 15 Mac 2020 dan memantau kakitangan tersebut setiap 2 hari.

”Hari ini 24 Mac, adalah hari yang ke 24 dan beliau tidak menunjukkan sebarang petanda penyakit Covid- 19.

”Walau bagaimana pun, oleh kerana arahan baharu KKM, PKU pada hari ini telah mengarahkan beliau untuk pergi membuat ujian swab di Hospital Kajang. Beliau telah pun melakukan ujian swab dan dimaklumkan oleh Hospital Kajang bahawa beliau akan menerima panggilan telefon sekiranya keputusan adalah positif.

”Mengikut siasatan yang telah dilakukan, didapati tuduhan yang dibuat oleh pengadu yang mengatakan staf ini tidak mengikut peraturan dan arahan KKM adalah tidak benar.” kata Naib Canselor, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Beliau memberitahu, kakitangan terlibat telah pergi ke ijtimak tabligh ini selama 2 jam sahaja, dari 7.30 hingga 9.30 pagi, pada 1 Mac 2020.

Ini kerana, kakitangan itu telah dimaklumkan oleh penganjur bahawa program tersebut untuk kumpulan yang akan keluar berdakwah selama 4 bulan.

”Sebagai makluman, UPM sentiasa memastikan staf patuh kepada arahan yang keluarkan oleh KKM dan Majlis Keselamatan Negara.

”UPM juga turut mengeluarkan arahan kepada semua staf terlibat dengan mana-mana kluster kes positif Covid- 19 untuk menjalani pemeriksaan. Malahan UPM telah menyediakan pautan borang risiko Covid-19 diedarkan dalam bentuk google form untuk semua staf dan pelajar UPM,” ujarnya. – MalaysiaGazette