SHAH ALAM – Tahap kesedaran orang ramai terhadap penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh dikatakan masih belum memuaskan kerana masih ramai berada di jalan raya tanpa urusan penting.

Walaupun sudah masuk hari ketujuh pelaksanaan PKP, namun tinjauan MalaysiaGazette hari ini di lebuh raya utama di Lembah Klang masih kelihatan orang ramai keluar dari rumah dan kawasan masing-masing.

Berdasarkan pemantauan MalaysiaGazette, berlaku kesesakan hampir 5 kilometer selepas Lebuhraya Guthrie menghala ke bandaraya Shah Alam.

Malah petugas media MalaysiaGazette sendiri terperangkap dalam kesesakan itu akibat sekatan jalan oleh pihak polis hampir dua jam susulan penutupan dua laluan utama di sini.

Walaupun tiada tangkapan mahupun tindakan tegas diambil namun mana-mana pengguna raya yang gagal menunjukkan surat pelepasan daripada majikan akan diambil butiran peribadi termasuk nama, nombor kad penganalan dan alamat masing-masing.

Berdasarkan tinjauan, dalam sekatan jalan hari ini, terdapat pelbagai alasan tidak munasabah diberikan orang ramai kepada pihak polis.

Antaranya mahu menghantar makanan kepada anak yang berada di luar Kuala Lumpur, tidak kurang pula mahu membeli topeng muka di Tanjung Malim, Perak dan mahu menziarahi kawan yang baru bersalin.

Berdasarkan jumlah besar kenderaan yang keluar yang memasuki Shah Alam dari Lebuhraya Guthrie melalui Lebuhraya Utara Selatan membuktikan tahap kesedaran rakyat terhadap bahaya wabak Covid-19 masih rendah.

Ini kerana kesesakan yang bermula jam 2 petang tadi masih berterusan sehingga kini dan tidak mustahil ia akan berterusan hingga malam nanti. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.