Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia merekodkan kematian ke-17 berkaitan COVID-19 hari ini apabila kes ke-1251 meninggal dunia pada jam 4.10 pagi tadi di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, korban terbaharu ini merupakan seorang warganegara Malaysia berusia 66 tahun.

Pesakit mempunyai latar belakang beberapa penyakit kronik.

“Beliau telah mula menunjukkan gejala seminggu sebelum dimasukkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar pada 20 Mac 2020.

“Keadaan beliau kritikal semasa tiba di Jabatan Kecemasan dan seterusnya memerlukan bantuan pernafasan pada hari yang sama. Beliau disahkan positif COVID-19 pada 21 Mac 2020.

“Kesihatan beliau merosot hari demi hari dan telah disahkan meninggal dunia pada 25 Mac 2020 jam 4.10 pagi.

“Punca jangkitan COVID-19 beliau masih dalam siasatan.

KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga pesakit,” katanya dalam satu kenyataan di sini.- MalaysiaGazette