Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed (tiga kanan) menerima sumbangan bekalan makanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 25 MAC 2020

SHAH ALAM – Selangor merupakan negeri yang mempunyai banyak laluan menyebabkan  pihak berkuasa berhadapan dengan kesukaran untuk memantau dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, meskipun pihak polis telah berusaha gigih menutup pelbagai jalan dan membuat sekatan namun masih ada yang lolos keluar meninggalkan rumah.

Walaubagaimanapun beliau memberi jaminan, polis yang kini bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus mempertingkatkan kawalan dari masa ke semasa.

“Kita di Selangor ni bukan macam negeri lain, terlampau banyak laluan kita ini, kita tutup jalan pun tidak akan habis laluan lain.

“Kita cuba mengetatkan lagi kawalan tapi kawalan kita tidak memadai sebenarnya sebab ada banyak laluan,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan makanan daripada Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) di IPK Selangor.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed bercakap kepada media selepas menerima sumbangan bekalan makanan kepada PDRM yang disampaikan oleh Majlis Paralimpik Malaysia di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 25 MAC 2020

Mengulas lanjut Arjunaidi berkata tahap kesedaran orang awam dalam mematuhi PKP masih perlu dipertingkatkan.

Malah beliau turut mendedahkan pihak polis masih menerima alasan yang tidak munasabah hanya kerana ingin keluar rumah.

Justeri beliau berharap agar rakyat dapat akur dengan perintah kerajaan untuk kekal di rumah sehingga 14 April akan datang.

Beliau menyifatkan kerjasama daripada orang awam buat masa ini sebagai sumbangan paling penting buat negara secara keseluruhannya.

“Tahap kesedaran meningkat tapi masih perlu ditingkatkan lagi ada yang masih beri alasan remeh misalnya hantar baju anak-anak. Sabarlah.

“Jadi kita mengharapkan orang yang dah balik kampung duduk diam diam di rumah ( di kampung) jangan balik ke ibu kota atau sini dahulu. Itu sumbangan yang rakyat boleh berikan untuk kita putuskan rantai jangkitan wabak. Itulah sumbangan yang paling penting.

“Sebab itu saya kata tanpa kerjasama orang ramai perkara ini tidak akan berjaya,” kata Arjunaidi. -MalaysiaGazette