Mesin ini 'diubahsuai' untuk menawarkan hadiah penutup mulut dan sanitizer.

SEBERANG PERAI – Kesukaran mendapat penutup mulut telah mendorong kemunculan “perniagaan bukan-bukan” yang dilihat sebagai tidak beretika pada ketika seluruh dunia sedang mendepani penularan virus COVID-19.

Oriental Daily melaporkan, daripada menjalankan permainan “mesin patung”, peniaga yang berinovasi telah mengubah suai mesin menjadi “mesin penutup mulut”.

Pengguna boleh mencuba nasib untuk mengepit penutup mulut dengan setiap percubaan dikenakan bayaran RM3.

Setiap bungkusan dalam mesin yang diletakkan di Simpang Ampat, Seberang Perai itu dimuatkan sebotol hand sanitizer dan tiga keping penutup mulut.

Walaupun kedai telah ditutup di bawah perintah kawalan pergerakan, tetapi tiga “mesin patung” telah diletakkan di hadapan kedai dengan dua mesin menawarkan alat permainan, perhiasan dan makanan ringan, tetapi mesin ketiga menyediakan penutup mulut yang dicari-cari banyak orang.

Ketiga-tiga mesin boleh dikatakan bernasib malang apabila disita oleh pihak berkuasa perbandaran pada Isnin selepas menerima aduan daripada seorang wakil rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun berkata, mesin berunsur hiburan itu tidak dibenarkan beroperasi di bawah perintah kawalan pergerakan.

Katanya, selain berkemungkinan menyebabkan orang ramai berkumpul, mesin itu juga menyumbang kepada penularan penyakit kerana pengguna mungkin menekan butang pada mesin tanpa melakukan pembersihan tangan.