Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Akauntan Negara dan Angkasa diminta menangguhkan dahulu sebarang pemotongan gaji kakitangan awam selaras dengan garis panduan tempoh moratorium yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKP) berkata, walaupun kakitangan awam memperolehi gaji atau bayaran penuh, namun begitu mereka turut terjejas daripada sudut pendapatan isi rumah ketika penularan wabak Covid-19.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Koperasi Malaysia juga perlu memainkan peranan dalam menangani masalah
ini.

“Seharusnya kakitangan awam harus dititikberatkan kerana buat masa ini segala pakej-pakej penangguhan bayaran hutang yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia banyak mendatangkan faedah kepada mereka yang berhutang dengan Bank-Bank Islamik dan Konvensional di Malaysia di bawah lesen Bank Negara Malaysia sahaja, tetapi tidak kepada kakitangan awam yang mempunyai hutang dengan badan-badan koperasi di Malaysia.

”Maka kami menyarankan Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Angkasa dan Jabatan Akauntan Negara perlu bersikap adil dan bertimbangrasa kepada kakitangan awam yang turut terjejas.

“Langkah ini adalah perlu dan penting bagi mengelakkan kakitangan awam meminjam wang daripada sindiket-sindiket yang mengaku sebagai badan koperasi dan menjerat mereka dalam produk pinjaman islamik tanpa lesen yang ditawarkan oleh mereka akhirnya menjerat kakitangan awam,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, kakitangan awam dan orang ramai adalah dinasihatkan agar tidak meminjam sebarang produk kewangan daripada mana-mana badan atau pertubuhan yang tidak diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia, Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Ini kerana, PKP mendapati kakitangan awam adalah antara yang paling mudah terpengaruh dengan sindiket-sindiket yang menawarkan produk pinjaman islamik dan lebih memburukkan keadaan sindiket-sindiket ini dengan terang-terang mengaku sebagai badan koperasi melalui ejen-ejen mereka sekaligus akan memperdayakan kakitangan awam.

”Adalah dinasihatkan kepada kakitangan awam, kod pemotongan gaji melalui Jabatan Akauntan Negara dan Angkasa bukanlah bermaksud entiti yang memberikan pinjaman itu adalah selamat dan sah disisi undang-undang serta kod pemotongan
itu juga bukanlah satu bentuk pengesahan atau pengiktirafan kepada produk pinjaman tersebut adalah selamat dan terkawal dan mematuhi undang-undang.

”Oleh yang demikian PKP menyarankan Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Jabatan Akauntan Negara dan Angkasa mencontohi
langkah-langkah yang diambil oleh Bank Negara Malaysia dan Bank-Bank yang dilesen di bawahnya.

”Kakitangan awam dan orang ramai juga dinasihatkan supaya mengelakan diri daripada sebarang tawaran produk pinjaman kewangan sama ada yang konvensional mahupun yang islamik daripada entiti atau pertubuhan tidak mempunyai lesen untuk
menawarkan pinjaman konvensional ataupun islamik selepas ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette