KUALA LUMPUR – Cerita menyayat hati diluahkan seorang jururawat yang merupakan salah seorang frontliner (barisan hadapan) dalam menangani penularan Covid-19.

Jururawat dari Hospital Seremban itu berkata, mereka terpaksa melakukan solat jamak dan kadang-kadang tidak sempat makan.

“Kami hanya boleh solat jamak, malah ada yang tak makan.

“Ada masyarakat yang ikhlas sumbangkan makanan tapi kami tak nak makan. Kami kena mandi di tempat kerja baru boleh balik,” cerita beliau kepada selebriti terkenal Datuk Aznil Haji Nawawi di Instagram beliau.

Individu yang bernama Nurul itu dilihat beberapa kali menangis dan menitiskan air mata ketika menceritakan pengalaman beliau sebagai frontliner.

Ibu tunggal itu juga berkata, kali terakhir beliau bertemu dua anaknya adalah pada hari pertama cuti persekolahan, 14 Mac lalu.

“Saya sudah lama tak jumpa anak. Saya terpaksa buat macam ini, saya tidak mahu risiko mereka berjangkit dengan Covid-19.

“Saya balik tapi mereka tak ada, adik saya yang jaga mereka sekarang,” katanya dalam nada sebak.

Mendengar akan kata-kata, Aznil turut dilihat menitiskan air mata dan sempat memberikan kata-kata semangat kepada Nurul dan rakan-rakannya di Hospital Seremban.

“Kita semua doakan awak supaya awak selamat dalam perjuangan ini. Terima kasih atas perjuangan ini kepada Nurul dan rakan-rakan. Tidak ada apa yang kami boleh beri cuma kata-kata semangat dan terima kasih. Kami tidak mampu nak buat perkara ini hanya yang kuat fizikal dan mental yang boleh buat perkara ini.

“Kita akan sama-sama keluar daripada peperangan ini,” kata Pak Nil.

Video itu ditonton lebih 195,000 pengguna Instagram dan mendapat 1,371 komen. – MalaysiaGazette