KUALA LUMPUR – Majlis Keselamatan Negara menjangkakan kes-kes positif COVID-19 akan meningkat lebih tinggi sekiranya kerajaan tidak bertindak segera.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, meskipun jumlah kes-kes baharu agak mendatar sejak beberapa hari lalu namun setiap hari masih terdapat kes baharu positif COVID-19 yang direkodkan.

Katanya, rakyat Malaysia tidak boleh berpuas hati selagi kes baharu belum mencapai tahap sifar.

Setakat jam 12 tengahari tadi, kes positif COVID-19 meningkat kepada 1,796 kes, naik sekali ganda berbanding tujuh hari lalu iaitu 673 kes.

Hari ini sejumlah 172 kes baharu direkodkan.

“Kerajaan menjangkakan kes-kes baharu akan terus dicatatkan dalam masa yang terdekat. Oleh itu, Kementerian Kesihatan telah melakukan persiapan.

“Ini termasuk menyediakan 3,585 katil di 34 buah hospital di seluruh negara untuk menerima pesakit-pesakit COVID-19

“Pada masa ini 34 peratus daripada kapasiti katil hospital telah digunakan, dengan baki sebanyak 66 peratus lagi yang masih boleh menampung pesakit.

“Jika berlaku pertambahan jumlah kes positif COVID-19 melebihi kapasiti yang ada di hospital, beberapa tempat telah dikenalpasti untuk dijadikan pusat pengasingan dan kuarantin sementara.

“Usaha-usaha akan terus dibuat untuk mencegah penularan COVID-19 sehinggalah kita benar-benar dapat membendung wabak ini dengan cara memutuskan rantaian jangkitan sepenuhnya,” katanya semasa menyampaikan perutusan khas yang disiarkan secara langsung melalui stesen-stesen televisyen nasional hari ini.

Dengan itu, Muhyiddin turut mengumumkan keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini.  PKP sepatutnya tamat pada 30 Mac ini.

“Saya telah diberikan taklimat oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara. Trend semasa menunjukkan kes-kes positif COVID 19 yang baharu masih berlaku.

“Trend ini dijangka akan berterusan untuk beberapa ketika sebelum kes-kes baharu mula menurun.

“Ini menuntut kerajaan untuk meneruskan PKP bagi satu tempoh masa yang lebih lama,” katanya lagi.

Muhyiddin turut menasihatkan orang ramai supaya bersedia mental dan fizikal semasa menghadapi pelanjutan PKP.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Setakat kawalan pergerakan tidak cukup,kerajaan perlu lakukan semburan penghapus bakteria di setiap kawasan2 tumpuan dan zon merah

Comments are closed.