Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan umat Islam menunaikan solat hajat serentak di seluruh negara untuk kesejahteraan rakyat Malaysia dalam menghadapi situasi terkini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr ZUlkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepadanya dan waktu yang sesuai diadakan solat hajat serentak itu adalah esok (Jumaat) selepas solat Zohor di rumah masing-masing.

“Renungkanlah firman Allah SWT:
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka);Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku.” (Surah al-Baqarah: 186),” kata Dr Zulkifli.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru seluruh umat Islam di Malaysia menyahut titah Yang di-Pertuan Agong supaya menunaikan solat hajat itu dan memenuhi hari Jumaat dengan zikrullah, taubat dan munajat kepada-Nya. Kepada Allah SWT jua kita berserah.

Wabak Covid-19 sehingga kini telah mengorbankan 21 nyawa di Malaysia yang kini sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan sehngga 14 April. – MalaysiaGazette