Datuk Kamarudin Jaffar

KUALA LUMPUR – Seramai 2,982 warganegara Malaysia masih terkandas di 55 negara akibat pembatalan penerbangan serta sekatan perjalanan yang dilaksanakan negara-negara mereka berada susulan penularan wabak COVID-19.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata setakat ini kementeriannya  telah membawa pulang 2,417 rakyat Malaysia dari 26 negara ke tanah air.

“Ini termasuk dua penerbangan yang tiba hari ini iaitu satu dari Bangladesh dan satu dari Itali yang membawa pulang sejumlah 306 warganegara,” katanya menerusi video yang disiarkan di laman Facebook Wisma Putra, hari ini.

Kamarudin berkata kejayaan membawa pulang rakyat adalah hasil kerjasama perwakilan-perwakilan Malaysia di luar negara dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN),  Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Kesihatan (KKM) dan syarikat-syarikat penerbangan MAS dan AirAsia.

“Tidak ketinggalan pihak MIC yang telah berbesar hati membiayai kos penerbangan pulang dari India dan Bangladesh serta syarikat T7 Global Berhad yang membiayai kos penerbangan pulang rakyat Malaysia dari Kemboja,” katanya.

Khususnya di India, Kamarudin berkata kerajaan telah membawa pulang 1,257 rakyat Malaysia dengan kerjasama Wisma Putra, MIC serta penerbangan komersial lain, dan mengikut rekod kira-kira 1,700 rakyat negara ini masih terkandas di beberapa wilayah di India seperti New Delhi, Mumbai, Chennai dan Trichy.

Bagaimanapun, beliau berkata jumlah itu mungkin akan meningkat daripada jumlah awal yang telah melaporkan diri dengan Perwakilan Malaysia di India.

“Wisma Putra ingin menegaskan bahawa tiada diskriminasi atau pilih kasih dalam usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara,” katanya.

Menurut Kamarudin, kerajaan akan terus berusaha memastikan tiada seorang pun rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara diabaikan keselamatan, kesihatan serta kebajikan mereka dan kementerian akan terus komited dalam menghulurkan bantuan yang sewajarnya.

Beliau menjelaskan rakyat Malaysia yang terkandas adalah mereka yang kebetulan berada di luar negara bagi tujuan kerja, urusan keluarga atau bercuti atau apa-apa sebab seperti itu.

Jelasnya, mereka mempunyai tiket penerbangan pulang ke Malaysia, namun penerbangan pulang telah dibatalkan dan tiada alternatif untuk pulang ke Malaysia disebabkan sekatan perjalanan yang dikuat kuasa negara tuan rumah bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

— BERNAMA

1 Komen

Comments are closed.