KUALA LUMPUR – Selain daripada warga perubatan, polis dan tentera, satu lagi kumpulan yang boleh dikatakan bertungkus lumus saban hari tanpa mengira bahaya adalah petugas media yang menyediakan laporan terkini kepada umum.

Media terpaksa bekerja keras bagi memastikan laporan tepat serta telus sampai kepada rakyat yang ketika ini sukar mengikuti perkembangan dunia luar berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini.

Ini kerana pandemik Covid-19 semakin kritikal dan sehingga petang ini sudah 23 kematian dengan 235 kes terbaru sekaligus menjadikan 2,031 kes berkaitan penyakit tanpa vaksin ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa melahirkan rasa penghargaan beliau terhadap petugas media di negara ini yang sama-sama bertungkus lumus membantu kerajaan melaporkan berita-berita terkini kepada rakyat.

Tulis beliau di laman Twitter, para petugas media juga adalah ‘frontliners’ atau barisan hadapan yang tidak didendang.

“Petugas barisan hadapan (frontliners), jangan lupa para wartawan yang ke hulu ke hilir.

“Mereka juga sebenarnya mengharungi bahaya dan mereka wira tak didendangkan,” katanya sebentar tadi.

Tulisan Annuar Musa yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) juga mendapat respon positif dari para netizen terutamanya yang aktif dalam laman Twitter mereka.

Masing-masing juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada pengamal media seluruh negara yang juga pastinya terkesan dengan wabak pandemik yang juga telah mengegarkan seluruh dunia ketika ini.

Ada juga yang meminta media supaya mematuhi penjarakan sosial seperti mana yang ditetapkan kerajaan ketika membuat liputan atau menjalankan temuramah.

Dalam pada itu, ada juga netizen melahirkan penghargaan mereka kepada golongan lain seperti pekerja am antaranya amah yang bekerja di hospital, pengawal keselamatan, pemungut sampah malah pemandu perkhidmatan makanan yang kerja 24 jam sehari. –MalaysiaGazette