Stuart Ramalingam.

KUALA LUMPUR – Saingan Liga Malaysia 2020 yang ditangguh mulai 16 Mac lalu akan dilanjutkan berikutan tindakan kerajaan yang memanjangkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 14 April ini.

Berikutan itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menasihati semua pasukan dan kelab terlibat mengadakan perbincangan terbuka dengan pemain bagi membincangkan kesan terhadap situasi semasa itu.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, bagi Fasa Pertama yang membabitkan penangguhan pertandingan, semua kelab yang bertanding dalam Liga Malaysia 2020 diminta mengadakan perbincangan terbuka antara pihak pengurusan dan pemain bagi membolehkan persetujuan bersama dicapai.

Katanya, berbanding daripada sekadar mengeluarkan kenyataan di media sahaja yang hanya akan menyulitkan lagi keadaan, adalah lebih baik sesebuah pasukan berhubung terus dengan pemain dan pegawai mereka untuk berbincang perkara berkaitan  gaji, kontrak dan kebajikan.

“Dalam keadaan sekarang, FAM berharap agar kelab-kelab, para pemain dan pegawai dapat sama-sama menggunakan budi bicara dan bertolak ansur demi kepentingan bersama, sekali gus mencapai satu keputusan menang-menang untuk kebaikan semua.

“Memang semua pihak yang terbabit mempunyai kepentingan masing-masing untuk dijaga. Namun, dalam situasi ini, semua pihak perlu berkorban bagi mencapai satu penyelesaian yang terbaik dan sewajarnya untuk kepentingan industri bola sepak kita ini.

“Pada masa yang sama, FAM dan MFL (Malaysian Football League) juga sentiasa terbuka untuk berbincang atau memberikan pandangan dan nasihat kepada mana-mana pihak sama ada kelab, pemain atau pegawai. Jika ada masalah atau pertanyaan, boleh terus hubungi kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saingan CIMB Liga Super, Liga Premier, Shopee Piala FA, TM Piala Malaysia dan Challenge Cup adalah di bawah kelolaan MFL manakala Piala Presiden, Piala Belia dan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) di bawah kelolaan FAM.

Saingan Liga M3 dan M4 pula di bawah kelolaan Amateur Football League (AFL) yang mana kesemuanya terlibat dengan penangguhan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan menjelaskan, perbincangan di antara kelab dan pemain bukan bermakna pemain diminta bersetuju dengan pemotongan gaji sepanjang tempoh saingan liga ditangguhkan.

“Sebab itulah FAM dan MFL meminta pihak kelab dan pemain serta pegawai pasukan mengadakan perbincangan supaya mereka semua mencapai satu keputusan yang adil untuk semua pihak terbabit.

“Apa yang berlaku ketika ini bukan salah MFL selaku penganjur liga atau salah kelab yang turut kehilangan sumber pendapatan sepanjang tempoh penangguhan ini.

“Ia satu situasi berbeza yang belum pernah kita alami sebelum ini. Jadi saya rasa semua pihak termasuk pemain dan para pegawai akan memahaminya,” ujarnya.

Menurutnya, semua yang terlibat perlu mempunyai pandangan yang sama demi menjaga kepentingan bersama pada waktu senang dan susah. – MalaysiaGazette