Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Sisa klinikal yang dihasilkan di seluruh negara sejak tempoh pandemik Covid-19 sejak awal bulan lalu meningkat sebanyak 17% berbanding purata bulanan daripada pelbagai institusi yang menyediakan perkhidmatan kesihatan.

Menteri Alam Sekitar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Jabatan Alam Sekitar telah mempunyai satu sistem pengurusan sisa klinikal (buangan terjadual SW404) yang komprehensif sejak tahun 2005 menerusi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Ini bermakna, semua sisa klinikal akan diasingkan di hospital atau klinik, kemudian dikutip, dihantar dengan kenderaan khas dan dilupuskan di 12 buah fasiliti insinerator di seluruh negara.

Menurut beliau, ketika ini terdapat tujuh buah syarikat yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar bagi mengendalikan semua sisa klinikal yang dihasilkan dari fasiliti perubatan (hospital/klinik/institusi perubatan), yang bermula dari kutipan, pengangkutan, rawatan sehingga kepada pelupusan.

Pengurusan sisa klinikal ini dikawal bagi memastikan sisa tersebut diuruskan dengan sempurna dan tidak memudaratkan kepada kesihatan awam.

Kesemua kemudahan rawatan dan pelupusan oleh syarikat tersebut adalah dilesenkan di bawah Seksyen 18, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan tertakluk kepada syarat-syarat ketat di dalam jadual pematuhan lesen dalam tempoh
pelesenan oleh Jabatan Alam Sekitar.

Syarikat-syarikat tersebut adalah Radicare Sdn. Bhd., Edgenta Mediserve Sdn. Bhd., Medivest Sdn. Bhd., Sedafiat Sdn. Bhd., dan One Medicare Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat konsesi yang dilantik oleh Kerajaan Malaysia (di bawah
Kementerian Kesihatan Malaysia.

Syarikat-syarikat ini di bawah Perkhidmatan Pengurusan Sisa Klinikal (CWMS). Manakala, Kualiti Alam Sdn. Bhd. dan Future NRG Sdn. Bhd. merupakan syarikat yang menguruskan semua sisa klinikal dari hospital/klinik swasta.

”Kesemua kemudahan rawatan dan pelupusan tersebut adalah merupakan perkhidmatan penting yang dibenarkan beroperasi diseluruh negara sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Pihak Kementerian Alam Sekitar akan terus memantau syarikat-syarikat tersebut termasuk melalui sistem atas talian iaitu Electronic Scheduled Waste Management System (eSWIS) bagi memastikan semua sisa klinikal diurus dengan sempurna dan sentiasa mematuhi sepenuhnya Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Kementerian Alam Sekitar juga mengingatkan pengendalian dan pelupusan haram buangan terjadual termasuk sisa klinikal tanpa lesen merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam
Sekeliling, 1974 dan boleh dihukum penjara mandatori tidak melebihi 5 tahun dan denda maksimum sebanyak RM500,000 jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette