Jururawat malang yang membunuh diri kerana panik bertanggungjawab secara tidak langsung menyebarkan virus kepada orang lain ketika bertugas dalam ICU di Itali.

ROM – Seorang jururawat yang telah berkhidmat di Unit Rawatan Rapi di hospital pusat epik wabak pandemik Koronavirus-19 (Covid-19) membunuh diri.

Mangsa difahamkan berbuat demikian kerana menganggap dia telah menular jangkitan virus itu kepada orang lain.

Daniela Trezzi, 34, bimbang dia telah menyebarkan virus kepada orang lain semasa bekerja di Hospital San Gerardo di bandar Monza yang terletak di kawasan Lombardy yang terancam teruk wabak itu.

Persekutuan Kebangsaan Jururawat Itali mengesahkan berita bahawa Trezzi telah membunuh diri pada Ahad lalu.

Trezzi dikatakan mengalami tekanan semasa kerja sebagai barisan hadapan  dan keadaan dilaporkan semakin buruk apabila dia didagnosis dengan virus maut itu pada 10 Mac lalu.

Trezzi juga dilaporkan memberitahu rakan setugasnya bahawa dia mula bimbang mungkin sudah menyebarkan virus itu kepada orang lain.

Dalam kenyataan media rasmi, Persekutuan itu mengesahkan salah seorang jururawat yang berkhidmat di ICU telah membunuh diri.

Pengarah Hospital San Gerardo, Mario Aparone kecewa dengan insiden itu sambil menjelaskan bahawa kes berkenaan sedang disiasat oleh Lembaga Kehakiman.

Persekutuan itu mengakui kes sama pernah berlaku di Venice beberapa hari lalu sambil menambah: “Kita dalam risiko mengalami tekanan dan kekurangan pekerja namun tak boleh kata apa-apa sekarang.”

Setakat ini Itali merekodkan 69,000 kes Covid-19 dan 6,820 kematian.- MalaysiaGazette