Penunggang penghantar makanan, Fahmi Mohamed Kamil bercakap kepada media selepas menerima topeng mulut dan hidung kepada sebahagian penunggang penghantar makanan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak Covid-19 di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 26 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Permintaan tinggi terhadap perkhidmatan penghantaran makanan naik sehingga 20 peratus sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula dari 18 Mac lalu.

Seorang penghantar makanan GrabFood, Mohamed Fahmi Mohamed Kamil berkata, peningkatan tempahan itu dapat dirasai dalam tempoh sejam berbanding sebelum ini.

Jelasnya yang bekerja sepenuh waktu, makanan segera menjadi pilihan utama tempahan masyarakat ketika ini.

“Sebelum PKP, tempahan dalam sejam satu atau dua sahaja. Namun sejak PKP, ada sampai empat tempahan dalam sejam.

“Kebanyakan pengguna ketika ini lebih gemar membuat tempahan makanan seperti makanan segara seperti McDonald dan KFC,” katanya.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican diringi timbalannya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyerahkan topeng mulut dan hidung kepada sebahagian penunggang penghantar makanan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak Covid-19 di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 26 MAC 2020

Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette selepas program pengagihan kit topeng muka dan cecair pembasmi kuman oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di ruang parkir di Sunway Putra Mall di sini hari ini.

Program itu anjuran Majlis Belia Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan dalam usaha menyatuni pekerja penghantar makanan yang majoriti terdiri daripada golongan belia.

Mengulas lanjut, Mohamed Fahmi, 30, berkata, walaupun masih keluar bekerja sepanjang PKP, dia tetap mengutamakan penjagaan keselamatan dan kesihatan diri bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

Jelasnya, arahan memakai topeng muka dan mencuci tangan menggunakan cecair pembasmi kuman serta sarung tangan dipatuhi kerana dia berdepan dengan ramai pengguna setiap.

“Saya hanya keluar bekerja dari pagi dan tidak sampai ke malam,” katanya. – MalaysiaGazette