Odion Ighalo.

LONDON – Manchester United bakal kehilangan khidmat Odion Ighalo selepas tempoh pinjamannya daripada kelab China, Shanghai Shenhua hanya sehingga 31 Mei ini.

United kini masih lagi dalam perbincangan untuk membeli Ighalo secara kekal namun jendela perpindahan dan kontrak pemain menjadi halangan.

Ighalo telah mempamerkak aksi luar biasa yang memukau staf kejurulatihan mahu pun penyokong semenjak ketibaannya pada Januari lalu.

Bekas penyerang Watford itu telah menjaringkan empat gol dalam tiga penampilan yang dia diturunkan dalam kesebelasan utama termasuk gol ala-ala Fifa Street dalam saingan Piala Europa ketika menentang LASK.

Sebelum ini, penyerang berusia 30 tahun itu dibenarkan untuk membuat perpindahan mengejut ke Old Trafford pada Januari lalu selepas penangguhan saingan Liga Super China bagi mencegah penularan Covid-19 yang berpunca dari Wuhan.

Pemain antarabangsa Nigeria itu menjalani tempoh isolasi selama 14 hari sebelum menyertai sesi latihan bersama rakan sepasukan baharunya.

Namun, penularan Covid-19 juga menyebabkan saingan EPL ditangguhkan sehingga penghujung April yang menghadkan lagi tempoh bermain Ighalo buat United. – MalaysiaGazette