Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) memberi insentif potongan cukai kepada penderma yang memberi sumbangan untuk menangani wabak Covid-19.

Sumbangan itu termasuk wang tunai dan barangan.

LHDNM berkata, insentif itu bagi menghargai usaha rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyalurkan sumbangan.

Menurutnya, insentif yang disediakan di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 oleh kerajaan adalah

i. Tabung COVID-19 (Kementerian Kesihatan Malaysia)
Jenis sumbangan : Tunai dan Barangan

ii. Tabung COVID-19 (Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri)
Jenis Sumbangan: Tunai sahaja

iii. Derma kepada institusi/organisasi yang diluluskan di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967.

Bagi sumbangan berbentuk peralatan/barangan untuk menangani wabak Covid-19, para penyumbang perlu mendapatkan surat akuterima sumbangan daripada penerima sumbangan berserta dengan cop rasmi mengikut format yang akan dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MOF), sebelum mengemukakan permohonan potongan cukai tersebut kepada MOF. Permohonan yang lengkap hendaklah dialamatkan kepada Bahagian Cukai, MOF.

Pembayar cukai yang menderma dinasihatkan supaya menyimpan rekod transaksi sebagai bukti dan sila pastikan resit/dokumen disimpan dengan rapi agar ia boleh dibuat rujukan ketika pengisian Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) Tahun Taksiran 2020 dan semakan oleh LHDNM:

a) Transaksi Derma Tunai: Tabung Covid-19 (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan Tabung Covid-19 (Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri)

b) Transaksi Derma Peralatan/Barangan: Tabung Covid-19 -19 (Kementerian Kesihatan Malaysia)

i. Surat kelulusan asal oleh Menteri Kewangan;

ii. Resit rasmi atau surat akuterima sumbangan daripada badan penerima;

iii. Surat pengesahan nilai perkhidmatan / nilai kos projek daripada agensi Kerajaan berkaitan.

c) Derma tunai kepada institusi/organisasi yang diluluskan di bawah subseksyen 44(6) [Kelulusan Ketua Pengarah LHDNM]

i. Resit rasmi institusi/organisasi yang telah diiktiraf oleh LHDNM.

Orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan kesahihan organisasi sebelum membuat sebarang sumbangan bagi mengelakkan penipuan. Maklumat berkaitan institusi/organisasi yang mendapat kelulusan di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967 boleh didapati di portal rasmi LHDNM di https://www.hasil.gov.my atau capaian pantas berikut:
http://www.hasil.gov.my/bt_goindex.php?bt_kump=2&bt_skum=6&bt_posi=1&bt_unit=8&bt_sequ=1. – MalaysiaGazette