Rosol Wahid

KAJANG – Pengilang topeng muka di negara ini bimbang tindakan menghentikan eskport topeng muka ke luar negara akan menyebabkan mereka tidak memperoleh bahan mentah sekaligus mengganggu pengeluaran produk seterusnya.

Kebimbangan itu disuarakan para pengilang kepada kerajaan kerana mereka terikat dengan perjanjian antara pembekal bahan mentah dengan syarikat mereka.

Perkara itu didedahkan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid.

“Ada kilang yang masih tetap keluarkan produk mereka tapi ada kebimbangan jika tidak dihantar keluar negara, mereka bimbang tidak akan dapat bahan mentah.

“Sebab ada perjanjian jika mereka hantar keluar negara, bahan mentah itu akan dihantar kepada mereka,” katanya dalam sidang media selepas melawat ke Pusat Pengumpulan dan Pengagihan Makanan di Yayasan Food Bank di Bukit Angkat, hari ini.

Sehubungan dengan itu, Rosol berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedang mengadakan rundingan dengan pengilang agar mengedarkan separuh daripada produk mereka di negara ini sebagai langkah utama.

Ini kerana, katanya, kerajaan masih menunggu import produk berkenaan daripada China bagi menampung keperluan di negara ini.

“Kita sedang berunding jika tidak dapat diedarkan sepenuhnya di sini, kalau boleh separuh yang dibuat di sini dan diedarkan di negara ini.

“Kita menunggu import daripada China dan ada di kalangan pengimport mereka kata boleh bawa masuk tapi masih tunggu harga,” katanya.

Bagaimanapun, Rosol berkata pengeluaran topeng muka di negara ini masih belum terjejas. -MalaysiaGazette