Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memohon maaf kepada seorang penghantar pesanan GrabFood yang terlibat dalam kemalangan dengan bas GoKL dan akan menderma sebuah motosikal baharu bagi membantu mangsa tersebut.

Kejadian berlaku pada 24 Mac lalu kira-kira pukul 2 petang di persimpangan Jalan Raja Chulan.

Sehubungan itu, penunggang motosikal tersebut diminta menghubungi Ketua Unit Komunikasi Rapid Bus, Hazimin Sulaiman melalui whatsapp pada nombor telefon 016-6760297..

Prasarana dalam kenyatannya berkata, kapten bas tersebut telah dikenalpasti dan diambil tindakan tatatertib sementara menanti hasil keputusan siasatan polis.

“Semua Kapten Bas yang berkhidmat untuk Rapid Bus melalui program latihan yang komprehensif dan menjalani program latihan semula bagi memastikan mereka memberikan tahap perkhidmatan yang baik dan selamat serta mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas.

“Pihak Prasarana akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis bagi menjalankan siasatan,” tambah kenyataan tersebut.

Satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Rabu 25 Mac 2020.-MalaysiaGazette