Stesen tren lenggang pada hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan susulan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di KL Sentral, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 18 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Stesen Sentral Kuala Lumpur (SSKL) mengehadkan akses orang awam di premis itu sehingga 11 malam dan dibuka 5 pagi pada keesokan harinya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Serentak itu, semua pintu masuk melalui pintu masuk penghantaran barangan, tempat parkir, platform tren dan NU Sentral akan ditutup.

Bagaimanapun, pintu utama SSKL di Tingkat 2 (Hilton Kuala Lumpur & Le Meridien Kuala Lumpur) akan terus dibuka untuk tujuan kecemasan dan akan dipantau oleh Polis Bantuan MRCB.

Langkah ini seiring dengan keputusan KTMB, ERL dan RapidKL yang mengakhiri operasi perkhidmatan masing-masing 10 malam.

Selain itu, pengendali bas seperti RapidKL, GoKL Smart Selangor, semua bas pengantar dan teksi juga akan mengehadkan perkhidmatannya. – MalaysiaGazette