Gambar hiasan

KESUNGGUHAN negara menerusi KKM, MKN dan dibantu oleh pasukan keselamatan serta agensi-agensi berkaitan dalam memerangi COVID19 wajar dipuji.

Namun begitu, menjadi harapan rakyat agar kerajaan mengatur strategi dengan rapi dalam memastikan negara tidak berhadapan dengan krisis bekalan makanan khususnya jika Covid-19 berterusan untuk beberapa bulan.

Kepentingan melihat isu bekalan makan negara ini kritikal kerana status Projek Gedung Makanan Negara (GMN) yang dilancarkan pada 2009 tidak begitu jelas kejayaannya.

Pada dasarnya idea membentuk GMN itu amat baik tetapi pelaksanaannya yang banyak kelemahan telah membuatkan objektif yang disasarkan gagal dicapai.

Sehubungan dengan itu, kerajaan perlu mengenalpasti inisiatif dan strategi bersesuaian bagi memastikan bekalan makanan utama negara mencukupi.

Berasaskan kepada maklumat semasa, kerajaan boleh membuat unjuran tentang berapa lama atau bulan stok bekalan makanan negara mencukupi sebelum memasuki fasa krisis.

Berikut antara inisiatif yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan menerusi kementerian dan agensi berkaitan.

1. Kementerian dan agensi berkaitan perlu segera membentuk pangkalan data bersepadu (big data) khususnya untuk tujuan menyelaras maklumat rantaian bekalan ikan, sayur-sayuran, dan beras negara.

2. Kementerian dsn agensi berkaitan perlu memanggil semua pihak yang terlibat dalam sektor perikanan, pertanian/sayur-sayuran, dan beras seperti persatuan nelayan/pekebun sayur/penanam padi, persatuan pemborong, persatuan peruncit atau penjaja serta agensi berkaitan untuk sektor berkaitan terlibat sama dan tahu peranan mereka dengan jelas dalam agenda memastikan bekalan yang mereka bekalkan untuk negara sentiasa mencukupi.

3. Kementerian dan agensi berkaitan perlu menyelaras gerak kerja dalam memastikan bekalan makanan utama negara yang dihasilkan dapat ditingkatkan ke tahap maksimum. Ini bagi memastikan kemungkinan terputus atau kurang bekalan import tidak memberi kesan teruk kepada bekalan dalam negara.

4. Kementerian dan agensi berkaitan perlu memastikan hasil-hasil tersebut khususnya harga ikan dan sayur-sayuran diselaraskan bagi memastikan harga runcit sentiasa terkawal. Strategi pengawalan harga beras menerusi pemberian subsidi mungkin boleh diguna pakai untuk ikan dan sayur-sayuran setidak-tidaknya untuk tempoh krisis Covid-19 ini.

5. Kementerian dan agensi berkaitan perlu memastikan bantuan disegerakan khususnya untuk perikanan di mana perlu dipastikan semua jeti mempunyai cold room yang mencukupi untuk menyimpan hasil tangkapan. Isu kurang atau tiada kemudahan cold room adalah antara masalah utama kepada nelayan tempatan untuk meningkatkan hasil tangkapan mereka.

6. Kementerian dan agensi berkaitan perlu memastikan pendekatan serupa untuk penanam sayur-sayuran di mana perlu juga dibantu dari segi kemudahan bersesuaian untuk menyimpan sayur-sayuran. Kemudahan setoran sayur-sayuran di ladang-ladang utama atau pasar borong mampu meningkatkan jangka hayat sayur-sayuran yang dibekalkan dan pastinya mampu mendorong penanam sayur meningkatkan hasil pengeluaran mereka.

7. Kementerian dan agensi berkaitan perlu memastikan proses penghantaran ikan, sayur-sayuran dan beras sedia ada ke setiap pasar borong, pasar dan pasaraya diatur dengan sistematik.

8. Kementerian dan agensi berkaitan perlu mengenal pasti inisiatif bersesuaian contohnya rebat cukai, pemberian geran atau pinjaman berkadar faedah rendah untuk pembelian peralatan perikanan dan pertanian adalah amat perlu.

9. Kementerian dan agensi berkaitan perlu meningkatkan komitmen memantau kenaikan harga yang mungkin berlaku dipasaran. Adalah sangat tidak beretika buat mereka yang memanipulasi harga ketika negara berhadapan dengan krisis. Hukuman keras wajar dikenakan kepada yang didapati bersalah.

Dengan kata lain, kementerian dan agensi kerajaan berkaitan perikan dan pertanian perlu proaktif dalam memastikan negara tidak terjerumus dalam krisis bekalan makanan iaitu kesan sampingan dari Covid-19.

Bersiap sedia menghadapi situasi buruk dengan membentuk strategi dan inisiatif yang dirancang dengan rapi serta disusuli dengan tindakan yang bersepadu pasti mampu menghasilkan keputusan seperti disasarkan.

Oleh: Prof. Dr. Haim Hilman
Profesor Pengurusan Strategik UUM.