KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup rokok putih dan keretek dianggarkan bernilai RM1.5 juta, melibatkan jumlah duti serta cukai kira-kira RM12 juta di Pelabuhan Klang.

Menurut kenyataan JKDM hari ini, rampasan berkenaan dilakukan selepas sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan Kastam Zon Tengah Unit II (Selangor) menahan enam buah kontena di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada 24 Mac lepas.

“Menerusi semakan K4 (Manifes Import) mendapati kontena tersebut telah diikrar sebagai ‘resin copolymer’ bagi mengelak dikesan oleh pihak kastam.

“Rokok berkenaan diklasifikasi sebagai dagangan terlarang di bawah Butiran 1, Jadual Ketiga/Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017,” menurut kenyataan itu.

Pengimport dan ejen kastam yang terlibat dalam cubaan seludup itu sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.

“Kastam menegaskan kepada pihak pengimport supaya tidak sesekali mengambil kesempatan semasa proses pelepasan barangan dalam tempoh pengecualian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dibenarkan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT),” katanya.

Dalam pada itu, JKDM turut berjaya mematahkan percubaan tidak membayar cukai dengan membuat pengikraran barangan jenis tidak bercukai, iaitu penutup hidung dan mulut dan setelah diperiksa oleh pegawai Kastam, barangan tersebut bukanlah seperti dinyatakan.

“Tindakan tegas termasuk hukuman lebih berat, penggantungan atau pembatalan lesen dan/atau disenarai hitam boleh dikenakan terhadap pihak pengimport yang ingkar,” katanya. – Bernama