KUALA LUMPUR – Ranhill SAJ akan memastikan perkhidmatannya kekal beroperasi sepanjang tempoh Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Simpang Renggam, Kluang yang berkuatkuasa pada 26 Mac hingga 9 April ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sr. Nor Ifuan Md Nor berkata, pihaknya membuat pemantauan rapi ke atas loji rawatan air untuk memastikan ia beroperasi seperti biasa, dan untuk membetul atau membaiki sebarang kebocoran paip yang tidak dijangka atau tidak dapat dielakkan.

“Ranhill SAJ menetapkan langkah kesinambungan perniagaan dan operasi untuk memastikan perkhidmatan tidak terganggu dan operasi penting diteruskan sepanjang tempoh ini,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Nor Ifuan berkata, bagi membantu pelanggannya, Ranhill SAJ memberi diskaun sebanyak 50 peratus bagi caj ke atas penggunaan air kepada pelanggan dalam golongan B-40 untuk bulan Mac 2020.

Bagi memastikan tiada pelanggan yang terputus bekalan air dalam tempoh penularan Covid-19, tambah beliau, syarikat juga menangguhkan penguatkuasaan pemotongan air bagi bil tertunggak untuk semua pelanggan hingga 30 April 2020.

Dalam perkembangan lain, Nor Ifuan mengesahkan bahawa tiada kakitangan Ranhill SAJ kecuali seorang yang telah disahkan negatif jangkitan Covid-19, menetap di kawasan PKPD, dan telah diarahkan untuk terus berada di situ.

“Kami telah menggantikan kakitangan lain untuk menjalankan tugas beliau supaya kami mempunyai cukup kakitangan yang bertugas bagi memastikan tiada gangguan kepada penyampaian perkhidmatan kami.

“Kesihatan dan keselamatan orang awam khususnya dalam masa mencabar ini kekal sebagai keutamaan kami. Kami mengikut cadangan yang dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dengan menggandakan dos klorin minimum yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dalam rawatan air kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pelanggan yang memerlukan nasihat dan bantuan boleh juga menghubungi Ranhill SAJ melalui e-mel di [email protected] – MalaysiaGazette