Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana termasuk usahawan mikro, kerajaan dan Bank Negara Malaysia akan menyediakan dana tambahan berjumlah RM4.5 bilion yang merangkumi lima inisiatif utama.

Peruntukan antara lain melibatkan penambahan dana sebanyak RM3 bilion ke dalam tabung Bantuan Kemudahan Khas untuk PKS selain menurunkan kadar faedah kepada 3.5 peratus berbanding 3.75 peratus sebelum ini.

Selain itu, bagi meningkatkan akses pembiayaan PKS dana Kemudahan Semua Sektor Ekonomi ditambah sebanyak RM1 bilion kepada RM6.8 bilion.

Di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), kerajaan menyediakan dana tambahan sebanyak RM500 juta di bawah Skim Kredit Mikro yang menjadikan jumlah keseluruhan RM700 juta bagi pembiayaan mudah.

Skim yang akan dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional dengan menawarkan kadar faedah 2 peratus sahaja tanpa cagaran dengan syarat kelayakan pinjaman juga dilonggarkan dengan minimum enam bulan operasi berbanding setahun operasi.

PKS yang mempunyai rekod perniagaan kurang daripada empat tahun juga boleh memanfaatkan skim BizMula-i dan BizWanita-i Syarikat Jaminan Kredit Malaysia Berhad (CGC) untuk pembiayaan sehingga RM300,000.

Manakala Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) akan menyediakan kemudahan jaminan bernilai RM5 bilion selain meningkatkan kadar jaminan daripada 70 peratus kepada 80 peratus bagi syarikat PKS yang menghadapi masalah mendapatkan pinjaman.

“Saya juga prihatin dengan nasib pemilik-pemilik syarikat yang mengalami masalah aliran tunai. Untuk membantu saudara- saudari yang tertekan dengan masalah ini, kerajaan akan melaksanakan beberapa langkah seperti  memperkenalkan program Khidmat Rundingan Majikan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja pada 15 April 2020.

“Perkhidmatan ini merangkumi pilihan penangguhan bayaran, penstrukturan dan penjadualan semula sumbangan majikan.

“Langkah ini dijangka memberikan penjimatan aliran tunai kepada majikan yang dianggarkan berjumlah RM10 bilion. Inisiatif ini akan memanfaatkan lebih 480,000 PKS dan syarikat yang terjejas, di samping menyelamatkan lebih lapan juta pekerjaan,” katanya semasa mengumumkan pakej Prihatin hari ini.

Pembayaran levi Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) bagi semua sektor dikecualikan untuk tempoh enam bulan mulai bulan April 2020.

Langkah tersebut dijangka membantu aliran tunai syarikat dengan penjimatan keseluruhan bernilai RM440 juta.

Kerajaan juga mengumumkan penangguhan pembayaran ansuran cukai pendapatan kepada semua PKS untuk tempoh tiga bulan mulai 1 April 2020.

Ini adalah tambahan kepada langkah yang diumumkan terdahulu di mana kerajaan telah memberi penangguhan bayaran ansuran cukai kepada perniagaan yang terjejas dalam sektor pelancongan selama enam bulan bermula 1 April 2020.

Bagi sektor lain yang turut terkesan, mereka dibenarkan untuk meminda jumlah cukai pendapatan yang dikenakan pada bulan ketiga, keenam dan kesembilan ansuran dalam tempoh asas perniagaan.- MalaysiaGazette