Syed Azmi Al Habshi

KUALA LUMPUR- Bekas ahli Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Syed Azmi Al Habshi dibenarkan untuk terus menyumbang tenaga membantu agensi tersebut sehingga wabak Covid-19 berakhir.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Syed Azmi memaklumkan beliau telah menerima panggilan dari pejabat Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berhubung perkara tersebut.

“Permohonan saya untuk membantu pasukan YKN di lapangan dibenarkan sehingga tamat musim Covid-19.

“(Mengenai) penamatan kontrak, saya akur,” katanya sambil menambah terdapat kemungkinan jawatannya dikembalikan semula berdasarkan perbualannya dengan pegawai dari pejabat menteri itu.

Syed Azmi tidak kisah mengenai jawatan tersebut sebaliknya hanya mahu terus menyumbang tenaga terutamanya ketika negara berhadapan krisis akibat penularan Covid-19.

Malah menurut beliau, pejabat menteri juga memintanya untuk menyumbang sebarang idea dan pendapat mengenai kaedah terbaik untuk membantu gelandangan semasa wabak ini.

Semalam, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam satu surat yang ditandatangani Rina memaklumkan pengguguran Syed Azmi sebagai ahli Pemegang Amanah YKN.

Susulan itu, beliau telah membuat permohonan supaya dibenarkan untuk menyumbang tenaga bagi membantu YKN di lapangan sehingga isu Covid-19 selesai.-MalaysiaGazette