Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Bekalan Perubatan dari Kerajaan China kepada Kerajaan Malaysia dalam membantu Negara menangani wabak COVID-19 di Wisma Putra, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 28 MAC 2020.

PUTRAJAYA – China bukan sahaja hampir berjaya memerangi  pandemik Covid-19 yang mula menular di negara itu sejak tahun lepas malah ratusan ribu rakyatnya menderita kesan wabak yang mengorbankan ribuan nyawa itu.

Bagaimanapun dengan komitmen, disiplin serta kepakaran tinggi, China boleh dikatakan telah berjaya mengekang virus itu dengan mempraktikkan tindakan seperti perintah berkurung secara tegas di Wuhan.

Hari ini, dunia luar khasnya yang sedang dihantui dengan penyakit membawa maut itu sangat berharap belas dan sumbangan dari pelbagai aspek daripada China termasuk Malaysia.

Didorong hubungan erat antara kedua-dua negara, kerajaan China melalui kedutaannya di Malaysia tampil membantu terutamanya dengan menghantar pelbagai bantuan perubatan dari negara itu ke sini.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersama  Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian diiringi Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah  pada Majlis Penyerahan Bantuan Bekalan Perubatan dari Kerajaan China di Wisma Putra, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 28 MAC 2020.

Menurut Duta China ke Malaysia, Bai Tian dalam satu ucapan beremosi dan menyentuh hati, negara itu sebenarnya sangat terkesan dengan penderitaan rakyat serta kerajaan dalam menangani Covid-19.

“Hakikatnya kami terasa dengan begitu mendalam apa yang anda sedang lalui ketika ini. Inilah perasaan yang kami lalui dengan penuh ketakutan apatah lagi melibatkan kehilangan nyawa dengan begitu banyak untuk tempoh dua bulan.

“Pada masa ini, Covid-19 ini bukan sahaja masalah kepada satu negara sebaliknya seluruh dunia, apa lagi ianya kini sedang meragut nyawa rakyat di negara ini. Malaysia adalah negara jiran yang begitu dekat di hati kami selama ini.

“Kerajaan dan rakyat di China tidak akan sesekali lupa dengan Malaysia yang banyak membantu kami juga pada masa-sama susah dan ‘gelap’. Kini sebagai sahabat, kami akan membalas balik jasa anda sekelian dengan bersama-sama memerangi wabak ini.

“Kami sedikit pun tidak akan berfikir panjang apabila Malaysia meminta bantuan kita, kita akan sama-sama berjuang memerangi Covid-19 ini.

“Walaupun hakikatnya kami juga masih sedang cuba sedaya upaya memastikan China bebas penyakit ini, kami akan terus bantu Malaysia pada masa sam.

“Lagi-lagi apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Luar yang juga seperti saudara saya sendiri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien memohon bantuan kepada kami serta melahirkan kebimbangan tidak terhingga kepada kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan bantuan perubatan Covid-19 kepada Wisma Putra yang turut dihadiri Hishammuddin dan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Kata Bai Tian, apa sahaja bantuan yang diberikan dalam bentuk bekalan perubatan menangani Covid-19 selain dalam persiapan menghantar kumpulan pakar membantu Malaysia, pihaknya lakukan ianya dengan hati terbuka serta ikhlas.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersama Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian (dua kanan) semasa Majlis Penyerahan Bantuan Bekalan Perubatan dari Kerajaan China kepada Kerajaan Malaysia dalam membantu Negara menangani wabak COVID-19 di Wisma Putra, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 28 MAC 2020.

“Ini adalah masa yang sangat susah, bantuan-bantuan ini sebenarnya tanda persahabatan lagi-lagi ketika memerlukan dan kami mampu berikan.

“Bukan sahaja kerajaan China sebaliknya rakyat kami juga khasnya yang mempunyai pelbagai syarikat di sini juga banyak menyumbang.

“Baru-baru ini kami juga ada telah mengadakan satu sesi ‘video conferencing’ antara doktor pakar dari China bersama-sama doktor di negara ini bagi berbincang dalam menghadapi wabak Covid-19 ini.

“Masing-masing telah luah pendapat dan juga bercerita pengalaman masing-masing. Itu sebenarnya telah banyak membantu dan membawa manfaat.

“Walauapapun, kita tidak akan sesekali membiarkan Malaysia menderita keseorangan, kami ada untuk bantu. Bak kata pepatah Melayu, ‘Bukit sama didaki, lurah sama dituruni’, selagi kita bergandingan, mungkin akhirnya kita dapat perangi Covid-19 ini

“Bertabahlah wahai rakyat Malaysia, semoga ini juga akan berakhir tidak lama lagi,” ujarnya. –MalaysiaGazette