KUALA LUMPUR- Perbelanjaan pengguna yang merupakan komponen penting dalam perbelanjaan domestik akan memberi kesan pengganda dalam meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi.

Disebabkan itu, ia menjadi teras dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang dilancarkan Perdana Menteri semalam.

Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad berkata,penyaluran wang dalam ekonomi melalui pakej rangsangan ekonomi ini juga dijangka menyebabkan tabungan pengguna bertambah.

Tabungan itu, katanya, akan dapat disalurkan kepada penggunaan yang lebih produktif untuk meningkatkan pengeluaran di dalam ekonomi.

Dalam senario pengajian tinggi pula, beliau berkata,  meskipun UniMAP merupakan universiti awam dalam sektor kerajaan yang tidak begitu terjejas menerusi penularan wabak tersebut, namun pengumuman pakej tersebut turut memberi manfaat kepada lebih 2,030 staf berstatus tetap dan kontrak.

Jelasnya, dengan tema “Memperkukuh Keyakinan, Merangsang Pertumbuhan, Melindungi Pekerjaan”, Perdana Menteri telah berjaya menyimpulkan keseluruhan tema tersebut dalam satu pakej yang mencakupi keseluruhan rakyat Malaysia.

“UniMAP amat bersyukur dengan keprihatinan beliau (Perdana Menteri) dan usaha beliau secara keseluruhannya untuk menangani wabak ini. Justeru marilah sama-sama kita mematuhi PKP ini seterusnya berdoa semoga Malaysia dan negara-negara lain berjaya menangani ancaman wabak ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UniMAP, Syahirunnisa Ramli berkata, pemberian wang saguhati RM200 kepada pelajar IPT sudah pasti akan membantu pelajar yang dapat dimanfaatkan untuk menampung perbelanjaan dan keperluan harian masing-masing.

“Tinjauan ringkas saya mendapati rata-rata pelajar gembira dan bersyukur dengan pemberian wang RM200 ini oleh kerajaan.

Ada juga yang akan memberi wang tersebut kepada ibu bapa untuk meringankan beban kewangan keluarga, membeli keperluan makanan di rumah kerana ibu bapa tidak boleh menjalankan perniagaan seperti biasa dalam tempoh PKP, ada yang akan simpan wang ini untuk perbelanjaan membeli buku pada semester hadapan.

“Berdasarkan kajian maklumbalas yang dijalankan menggunakan Google form semenjak awal sesi PKP dahulu, lebih 50 peratus pelajar UniMAP adalah terdiri daripada keluarga B40, justeru pemberian bantuan ini bukan sahaja untuk kegunaan sendiri, tetapi juga membantu keluarga terutama yang terjejas akibat Covid-19,” jelasnya.- MalaysiaGazette