Orang ramai beratur untuk memasuki pasar raya semasa tinjauan lensa MalaysiaGazette pada hari ke-11 pelaksanaan PKP di Tesco Extra Ampang, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 28 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Sudah 11 hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, namun belum nampak tanda-tanda jumlah pengunjung ke pasar raya menyusut begitu juga di pasar-pasar basah.

Malah tinjauan MalaysiaGazette di empat pasar raya hari ini mendapati orang ramai sanggup beratur panjang menunggu giliran untuk masuk membeli barangan keperluan di sebalik usaha kerajaan mengehadkan pergerakan rakyat.

Mungkin kerana masing-masing baru menerima gaji atau juga mahu menambah mana-mana barangan keperluan yang tidak mencukupi sementara menunggu 14 April iaitu tarikh akhir PKP dilaksanakan jika tempoh tersebut tidak dipanjangkan lagi.

Orang ramai beratur untuk memasuki pasar raya semasa Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung wabak Covid-19 pada hari ke-11 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Giant Hypermarket Setapak, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 28 MAC 2020.

Sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelak jangkitan Covid-19, pasar raya Tesco Extra Ampang, NSK Wangsa Maju, dan Giant Setapak melakukan pemeriksaan suhu badan pengunjung, menyediakan cecair pembasmi kuman dan menetapkan seorang pelanggan hanya mempunyai 30 minit untuk membeli barangan keperluan.

Pihak pasar aya juga masing-masing menghadkan kemasukan pelanggan dalam premis mereka.

Pengunjung diperiksa tekanan suhu badan sebelum memasuki pasar raya semasa Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung wabak Covid-19 pada hari ke-11 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Tesco Extra Ampang, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 28 MAC 2020.

Tinjauan mendapati ada kalangan pengunjung yang masih tidak mematuhi jarak sosial sebagaimana yang ditetapkan sebagai langkah berjaga-jaga ketika berada di tempat tumpuan ramai.

Ada juga yang terlalu asyik memilih barang dari makanan mentah basah mahupun kering sehingga berlaga bahu.

Kesedaran di kalangan rakyat kita nampaknya masih perlu dipertingkatkan khususnya mengelakkan keberadaan di tempat tumpuan ramai khususnya pada jarak yang dekat di antara satu sama lain.

Ada yang membuat pembelian dalam kuantiti yang banyak.

Antara barang keperluan yang dibeli pengunjung semasa Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung wabak Covid-19 pada hari ke-11 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Giant Hypermarket Setapak, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 28 MAC 2020.

Sebelum ini kerajaan mengingatkan orang ramai supaya jangan membuat pembelian panik sebaliknya hanya membeli mengikut keperluan sahaja tanpa ‘menyerbu’ pasar raya. – MalaysiaGazette