Gelagat pelancong semasa bergambar kenangan bersama keunikan struktur Pintasan Saloma ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Saloma, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) kecewa apabila Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) tidak mempunyai satu pun insentif khusus yang memfokuskan industri pelancongan.

Sedangkan menurutnya, industri tersebut merupakan penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 15.3 peratus dan menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada lebih 3.7 juta rakyat Malaysia.

Tambahan pula menurut Presidennya, Datuk Mohd. Khalid Harun, industri pelancongan merupakan industri pertama dan peling terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

“Pengusaha premis penginapan pelancongan seperti hotel dan inap desa misalnya, terpaksa menanggung kos operasi harian seperti gaji pekerja, utiliti dan sebagainya walaupun tiada daftar masuk dibenarkan ketika ini.

“Keadaan ini telah bermula seawal bulan Februari lagi dimana banyak tempahan bilik, sewaan dewan banquet dan sebagainya telah dibatalkan.

“Sementara itu, menurut pengusaha syarikat pelancongan (travel agency) pula telah mula mengalami penurunan perniagaan dan pembatalan tempahan seawal Januari lalu.

“Pembatalan ini adalah disebabkan kegusaran pelancong untuk melancong disebabkan wabak COVID-19 ini. Pelancongan domestik juga terjejas disebabkan Malaysia adalah antara negara terawal yang dikaitkan dengan COVID-19.

“Lebih mengeruhkan lagi keadaan apabila kerajaan Arab Saudi juga telah menggantung sementara pengeluaran visa umrah dan pelancongan mereka yang mengakibatkan syarikat yang terlibat telah kerugian hampir RM300 Juta,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dengan itu, MATA katanya, berharap supaya kerajaan menimbang semula inisiatif yang boleh disalurkan kepada industri pelancongan bagi memastikan syarikat-syarikat yang terlibat tidak gulung tikar dan seterusnya menyebabkan sejuta pekerja hilang pekerjaan.

Mohd. Khalid mencadangkan kerajaan supaya menggunakan peruntukan kempen pengiklanan Tahun Melawat Malaysia 2020 yang bernilai kira-kira RM100 juta untuk disalurkan kepada pemain industri pelancongan bagi menampung kos operasi untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan akan datang.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bengap ke apa dia ni.. org sibuk penyakit dia sibuk melancung.. Kau tunggu lh kerajaan perhalusi tindakan seterusnya. Kau ingt yg jd kerajaan ni bodoh ke. P Ramlee pun ckp, mesti pandai…. ok, mesti pandai…

Comments are closed.