Ahmad Amzad meninjau Dapur Rakyat Parlimen Kuala Terengganu yang memasak untuk bekalan petugas frontliner.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim sebak dan menitis air mata mendengar kesulitan serta permasalahan dihadapi penduduk di penempatan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dalam kawasannya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menceritakan kisah sedih itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, ketika meninjau pergerakan bekalan makanan yang hendak diagihkan kepada petugas frontliner, pegawainya memaklumkan ada yang berdepan dengan kesulitan.

Katanya, beliau dimaklumkan, ada antara penduduk mempunyai beras, tetapi tidak ada lauk walaupun sebiji telur hingga memaksa mereka makan nasi berkuahkan air.

“Semasa saya menghitung dan meninjau pergerakan bekalan makanan yang mahu diagihkan kepada rakyat, pegawai saya Hj Zul Wahab memaklumkan ramai yang susah, ada beras, tapi makan berlaukkan air, telur pun tiada.

“Saya tanya di mana mereka, (saya) diberitahu ramai (tinggal) di penempatan PPR. Pegawai saya Syed Ali Al Idrus pun beritahu ramai yang mengadu tak merasa makan ikan.

“Saya tak tahu, tapi air mata saya menitik,” katanya menerusi posting akaun Facebooknya, semalam.

Menurut Ahmad Amzad, ketika bersiap untuk melawat penduduk di PPR berkenaan, beliau mendapat tahu ada lori membawa cencaru dan ikan itu hendak dijual murah.

Ahmad Amzad memborong 1,000 kilogram cencaru untuk diagihkan kepada penduduk di lima penempatan.`

Katanya, tanpa berlengah, beliau membeli semua ikan itu sebanyak 1,000 kilogram dan diagihkan di lima penempatan PPR dalam Parlimen Kuala Terengganu.

Penempatan yang terlibat ialah KP Perdana, PPR Cendering, Kondo Rakyat, PPR Hiliran dan PPR Ladang.

“Mereka ini tidak dapat keluar membeli lauk kerana kekangan kewangan, selain mematuhi perintah PKP yang dilanjutkan sehingga 14 April ini.

“Saya doakan semoga ramai yang beroleh manfaat walau pun bekalan lauk ini tidak cukup untuk semua,” katanya.

Sementara itu, pada sebelah petang, Ahmad Amzad meninjau penyediaan makanan bermasak Dapur Rakyat Parlimen Kuala Terengganu yang dikelolakan oleh badan bukan kerajaan (NGO) KT Care untuk keperluan petugas frontliner.

Beliau turut diberi taklimat oleh Pengerusi KT Care, Azizah Mahmood mengenai bahan yang digunakan untuk masakan itu berkhasiat tinggi.

“Keikhlasan kita semua untuk membantu petugas kesihatan yang sedang dalam ujian penularan wabak Covid-19 ini mudah-mudahan mendapat reda Allah serta membantu meringankan beban dan mengurangkan tekanan mereka nanti,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. MPKK yang dilantik tidak melaksanakan tugas. Elaun terima tapi tidak memperdulikan penduduk dikawasan mereka. Jika ada bantuan pun hanya kroninya saja. Kg. Rhu Muda contohnya MPKK langsung tidak pedulikan. Ditempat lain dah terima fasa ke tiga, tetapi sebaliknya di Kg. ini.

Comments are closed.