Petugas Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL semasa Operasi Pembersihan Disinfeksi Kawasan Sri Petaling pada hari ke-11 Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 di sekitar Sri Petaling, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL 28 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah memperuntukkan RM20 juta bagi proses disinfeksi sebagai langkah mengawal penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

Peruntukan itu disalurkan ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi proses nyahkuman di seluruh negara khususnya kawasan kluster Covid-19 termasuk  Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Peruntukan itu untuk seluruh negara dan akan meliputi kawasan-kawasan yang meruncing antaranya Kuala Lumpur.

“Untuk peringat awal peruntukan RM20 juta telah dipohon melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk operasi serta merta,” kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Menurut beliau, kerajaan juga akan menyalurkan peralatan yang sesuai, teknologi yang canggih dan kaedah yang betul dalam nyahkuman di kawasan terbuka.

Petugas Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL semasa Operasi Pembersihan Disinfeksi Kawasan Sri Petaling pada hari ke-11 Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 di sekitar Sri Petaling, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL 28 MAC 2020

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses disinfeksi oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Alam Flora di sekitar Masjid Jamek Seri Petaling.

Umum mengetahui, masjid ini menjadi antara kluster bagi penularan Covid-19.

Dalam operasi ini, sejumlah 150 kakitangan DBKL bersama-sama Alam Flora ditugaskan  untuk menjalankan kerja-kerja disinfeksi hari ini.

Sebanyak 20 unit semburan asap, 16 unit tin semburan, 7 unit mesin ULV (mesin disinfeksi), 500 liter bahan disinfeksi, dan 2 unit tanker digunakan dalam operasi hari ini.

Antara jalan-jalan yang terlibat dalam proses disinfeksi oleh DBKL adalah Jalan Radin, Jalan Radin Anum 1 & 2, Jalan Radin Tengah, Jalan Radin Bagus, Jalan Radin Bagus 3, Jalan 3/149j, Jalan 1/149D dan sebahagian Jalan Merah Silu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa hadir semasa Operasi Pembersihan Disinfeksi Kawasan Sri Petaling pada hari ke-11 Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 di Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL 28 MAC 2020

Dalam pada itu, Annuar berkata beliau akan melihat semula aset dan teknologi yang digunakan oleh DBKL dan Alam Flora bagi proses disinfeksi hari ini.

Jelasnya, teknologi terkini perlu dipraktikkan bagi memastikan proses nyahkuman  berjaya seratus peratus.

“Kita ada keterbatasan peralatan kita akan beri keutamaan kepada zon yang dibuat oleh KKM.

“Dari segi teknologi kita terkebelakang dan kita kena melihat apa yang dilakukan di Wuhan, dan negara lain apa bentuk peralatan yang digunakan. Sebab kalau nak disinfeksi seluruh bandar kena dijalankan beberapa hari sedangkan kita perlu buat berkali-kali.

“Sudah tentu usaha ini memerlukan satu gerakan yang besar kerana kawasan yang luas dan terbuka. Oleh itu kita perlu melihat kepada kemampuan dan keberkesanan aset itu digunakan khususnya bagi virus,” katanya lagi.

Operasi ini kata Annuar akan turut diperluaskan ke lima lagi Parlimen antaranya Lembah Pantai, Bukit Bintang, Titiwangsa, Setiawangsa, Wang Maju. -MalaysiaGazette