TERKINI : Jumlah Terkini 27 Kematian, 159 Kes Baru Positif Covid 19 – Datuk Dr Noor Hisham

Sebanyak 159 kes baharu positif Covid-19 direkodkan hari ini, manakala tiga kematian dilaporkan dua daripadanya telah diumumkan di laman Kementerian Kesihatan malam tadi.

Dengan perkembangan terbaharu itu, jumlah keseluruhan kes positif virus pandemik itu setakat ini adalah sebanyak 2,320 kes, dan 27 kematian sehingga pukul 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 73 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu 54 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, 61 kes terbaharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini menjadikan 320 kes iaitu dengan kadar discaj 13.8 peratus.

Menurut Dr Noor Hisham, kes kematian ke-27 adalah seorang lelaki warga tempatan berusia 61 tahun merupakan kes-2162 mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.