Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Holdings Bhd. dan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed
Mohd Muazzam Mohamed

KUALA LUMPUR – Bank Islam akan menggunakan sumbangan zakat bagi urusan pembiayaan mikro dalam fasa pertama
pelaksanaannya.

Di peringkat permulaan, 100 penerima dijangka mendapat manfaat daripada program iTEKAD.

Program ini diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 27 Mac lalu untuk membantu menjana pendapatan mampan dan daya tahan kewangan perusahaan mikro milik B40 dalam menghadapi kesan pandemik Covid-19.

Bank Islam merancang untuk memperkenalkan inisiatif kewangan sosial ini pada Mei 2020 yang melibatkan kerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri terpilih termasuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan rakan-rakan pelaksana seperti SME Corporation Malaysia (SME Corp).

Bagi memastikan kejayaan program ini, penerima terpilih juga akan mengikuti latihan tersusun bidang keusahawanan dan pengurusan kewangan melalui kerjasama antara MAIWP dan SME Corp.

Mereka juga akan diberi sokongan yang diperlukan untuk membangunkan perniagaan berdaya maju pilihan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, ekonomi Malaysia dijangka menghadapi prospek yang sangat mencabar berikutan pandemik Covid-19 yang telahpun memberi kesan buruk terhadap ekonomi global.

Kesannya tidak hanya dirasakan oleh institusi dan syarikat besar, tetapi lebih dirasai oleh banyak perusahaan kecil dan pengguna.

”Di masa yang mencabar ini, Bank Islam menggandakan usahanya untuk memastikan perkhidmatan di tahap terbaik dan
kemakmuran yang mampan untuk masyarakat, pelanggan serta bank.

”Pelaksanaan program iTEKAD membolehkan Bank Islam memainkan peranan kami dalammenyediakan bantuan kewangan kepada segmen paling terkesan yang terdiri daripada individu-individu B40 dan perusahaan mikro milik B40,” katanya.

Muazzam menambah,melalui program ini, Bank Islam berhasrat untuk mengurangkan impak semasa kepada pemilik perusahaan kecil agar mereka terus berusaha mencapai kemakmuran yang berterusan. – MalaysiaGazette