Dr Mohammad Shatar Sabran

KUALA LUMPUR – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyambut baik dan berterima kasih kepada Perdana
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana memberi bantuan RM200 kepada mahasiswa semua institusi pengajian tinggi menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi.

Pakej berkenaan sangat membantu sektor pendidikan yang kini melalui situasi kritikal.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, kerajaan menjaga kebajikan bukan sahaja mahasiswa di universiti tetapi juga mereka yang baru meninggalkan pusat pengajian itu.

Mahasiswa akan menerima peruntukan bantuan RM200 dan mereka yang sudah tamat pengajian akan diberi penangguhan pembayaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menurutnya, sebagai tanda prihatin dan menyambut inisiatif kerajaan, UPSI bersetuju menangguhkan atau moratorium kepada warga UPSI yang membuat pinjaman komputer, motorsikal dan sebagainya bagi meringankan beban mereka bermula April depan.

Ini dapat memberi keselesaan kepada kakitangan yang berpendapatan rendah untuk mengharungi kesulitan hidup disebabkan virus Covid-19 menyerang hidup ketika ini.

”Kebajikan warga UPSI akan sentiasa dijaga sebaik mungkin kerana tanpa komitmen padu semua kakitangan sukar universiti mencapai kecemerlangan universiti ke arah menjadi universiti yang dirujuk, dihormati dan relevan,” ujarnya. – MalaysiaGazette