Nisa Bakri

KUALA LUMPUR – Hobi beliau yang bermula gemar memasak dan menjamu rakan-rakan dengan pelbagai masakan tradisi telah membuka peluang untuk wanita ini membuat kerja amal ketika ini.

Bagi chef selebriti, Puan Sri Shariffa Nisa atau lebih mesra disapa Nisa Bakri, pengalaman memasak untuk disumbangkan kepada Petugas Barisan Hadapan yang berjuang menangani wabak Covid-19 merupakan satu kseronokan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Apatah lagi jelas beliau, dapat melihat pek-pek makanan yang disediakan itu dapat mengisi perut mereka yang bertugas untuk tempoh yang lama.

Nisa Bakri (dua dari kanan) memasak 200 pek makanan untuk disumbangkan kepada Petugas Barisan Hadapan sejak 15 Mac lalu.

Malah, wanita ini dianggap tidak berkira apabila sanggup memasak menu yang dianggap ‘mewah’ seperti nasi beriani ayam dan spaghetti.

“Semua menu saya masak dengan penuh kasih-sayang malah ramuannya menggunakan kandungan bahan rempah-ratus dalam kuantiti yang banyak.

“Saya tidak berkira kerana bahan yang digunakan itu mampu mengembalikan tenaga untuk Petugas Barisan Hadapan yang letih selepas bertugas untuk jangka masa yang panjang.

“Malah lebih penting apabil timbul perasaan puas dan seronok dapat melihat mereka menjamu makanan dengan penuh selera,” katanya yang merupakan isteri bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri.

Menu spaghetti turut disediakan.

Nisa menerusi perkhidmatan kateringnya, Serasi Catering telah menjalinkan kerjasama amal itu bersama GoJob iaitu platform pemadanan pekerjaan dan Projek Wawasan Rakyat (POWR).

Mereka menyediakan kira-kira 200 pek makanan untuk diagihkan kepada pasukan petugas perubatan di hospital dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 15 lalu.

Nisa menambah, pasukannya menyediakan 100 pek makanan setiap malam kepada kakitangan di Jabatan Kecemasan dan Pasukan Covid-19 di Hospital Serdang berikutan penutupan kafe hospital yang ditutup buat sementara waktu.

Jelas beliau, pada masa sama, mereka turut menyampaikan sumbangan pek masakan di Hospital Sungai Buloh dan pasukan PDRM yang membuat sekatan jalan raya di kawasan terpilih.

“Harapan kami ketika ini ingin menyediakan lebih banyak pek makanan untuk Pasukan Petugas Hadapan sebagai tanda penghargaan di atas pengorbanan sepanjang PKP ini.

“Justeru kami amat berbesar hati jika terdapat syarikat korporat atau individu yang ingin memberi sumbangan wang tunai bagi membolehkan lebih banyak jumlah pek makanan disediakan.

“Bagi kami, inilah masanya untuk semua rakyat Malaysia bersatu dan saling membantu antara satu sama lain dalam menangani wabak Covid-19 ini,” katanya yang juga usahawan perencah segera dan juga penulis buku ‘I Am Not A Chef’.

Menu yang disediakan menitikberatkan kandungan karbohidrat bagi memberi tenaga.

Sementara itu, orang ramai yang ingin menyampaikan sumbangan bagi penyediaan pek makanan boleh menghubungi talian 0123147094.

Sementara itu, sejak empat tahun lalu Nisa telah memulakan program Wakaf Ramadan Food Mission apabila beliau menyediakan perkhidmatan membekal makanan kepada golongan yang kurang bernasib baik.

Program tersebut yang dilakukan bersama rakan-rakan baiknya itu telah menjelajah ke merata tempat untuk mendekati dan menyantuni antaranya keluarga miskin yang masih berlangsung sehingga ke hari ini.

Walaupun memberi makanan percuma, prinsip Nisa hanya satu sahaja iaitu memasak makanan dengan penuh kasih sayang dan ikhlas kerana ia menghubungkan jiwa sesama manusia selain memberi kepuasan kepada diri sendiri.

Tahun lalu, Nisa mengharumkan nama Malaysia apabila menerima Anugerah Usahawan Wanita ASEAN 2019 pada Persidangan Wanita ASEAN dan Majlis Anugerah 2019 (AWEN 2019) di Bangkok, Thailand. – MalaysiaGazette