Pertubuhan Solidaritas

KUALA LUMPUR – Sekumpulan 127 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) merayu kepada kerajaan agar memberi pelepasan kepada mereka untuk mengedar makanan, perubatan dan keperluan lain kepada golongan yang memerlukan, khususnya B40.

Menurut Pertubuhan Solidaritas, kerajaan tidak mungkin mempunyai senarai semua golongan berisiko yang memerlukan bantuan pada masa ini, atau mampu mengambil alih semua usaha kerja membantu komuniti-komuniti ini dengan segera.

“Golongan terkesan termasuk golongan B40, miskin bandar dan luar bandar, rakyat kehilangan punca pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ini termasuklah warga emas, golongan yang tidak boleh keluar rumah, orang sakit, anak yatim, orang asli, pekerja asing, pelarian, dan ramai lagi.

“Dasar sentralisasi yang dicadangkan ini dibimbangkan adalah hasil daripada perancangan kurang efektif dan pemahaman mungkin tidak lengkap berkenaan permasalahan yang dihadapi oleh golongan miskin,” katanya Pertubuhan Solidaritas dalam satu kenyataan bersama 127 NGO, semalam.

Sabtu lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menasihatkan NGO yang prihatin dan ingin menyumbang barangan keperluan atau makan supaya menghantarnya ke pusat pengumpulan di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah di seluruh negara.

Menurut Ismail Sabri, larangan itu bagi mengurangan pergerakan dalam kalangan NGO yang dikhuatiri akan terdedah dengan wabak Covid-19 setiap kali mereka berkumpul dan menyerahkan bantuan itu.

Pertubuhan Solidaritas juga memberi jaminan kepada kerajaan bahawa NGO-NGO di bawah naungannya akan mengikuti garis panduan kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kami merayu agar kerajaan memberi pelepasan kepada NGO-NGO untuk mengedar makanan, perubatan, dan keperluan lain meneruskan usaha mereka secara selamat dan bertanggungjawab.

“Kami yakin NGO-NGO terlibat akan terus mengambil langkah-langkah sepatutnya demi menjaga kesihatan dan keselamatan termasuk mengguna pembersih tangan, memastikan penjarakkan sosial serta menghadkan jumlah pekerja terlibat.

“Krisis ini menjejaskan kehidupan ramai rakyat Malaysia. Kita semua perlu bekerjasama dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat yang bersatu padu,” katanya.

Kewujudan NGO-NGO itu tidak bermaksud untuk mengambil alih tugas kerajaan, jauh sekali memburukkan nama baik pemerintah, sebaliknya mahu memikul tanggungjawab itu secara bersama.

“NGO-NGO tidak wujud untuk menggantikan peranan kerajaan, atau memburukkan nama baik kerajaan.

“Konsep #KitaJagaKita bukan berhasrat memberi apa-apa implikasi bahawa kerajaan gagal dalam mana-mana usaha.

“Ianya hanya menekankan bahawa krisis ini cukup parah sehingga semua rakyat Malaysia diharuskan memikul tanggungjawab untuk menjaga kebajikan satu sama lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette